Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Jangan risau, marilah ke Sabah

PELBAGAI juadah hidangan makanan laut yang dijual di Dataran Todak,
PELBAGAI juadah hidangan makanan laut yang dijual di Dataran Todak, Kota Kinabalu, Sabah. UTUSAN/RODELIO JUNJUN TAUCAN

PADA malam 7 April lalu, penulis membawa ‘rombongan’ bos dan rakan petugas Utusan Malaysia serta Kosmo! dari ibu pe­­jabat di Kuala Lumpur, me­nikmati hidangan masakan laut di Waterfront, sebuah lokasi tumpuan di Kota Kinabalu, Sabah, yang digelar syurga makanan laut.

Dengan jumlah bil RM300, kami sebanyak 12 orang menikmati ma­sing-masing dua kilogram udang dan ketam, setiap satu kilogram sotong dan siput, dua ekor ikan merah bersaiz dua tapak tangan dan seekor ikan putih yang dihidangkan dalam pelbagai jenis masakan.

Keenakan dan kesegaran lauk yang dihidangkan serta harga yang dibayar itu memang menepati gela­rannya sebagai syurga makanan laut. Kalau di Kuala Lumpur, hidangan seperti itu masih boleh dinikmati tetapi harganya mungkin tiga kali ganda lebih mahal.

Tidak hairanlah ‘rombongan’ dari Kuala Lumpur tersenyum lebar selepas menikmati hidangan. Malah masing-masing sudah merancang-rancang untuk datang lagi ke Sabah pada masa depan.

Memang sesiapa sahaja yang berkesempatan ke negeri ini pasti terpikat, bukan sahaja kerana makanan lautnya yang segar tetapi murah, bahkan pelbagai tarikan budaya dan keindahan alam semula jadinya yang masih tidak tercemar dan kekal terpelihara.

Sebagai bonus, Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi di Asia Tenggara terletak di negeri ini, yang sentiasa melambai kedatangan pelawat dan pelancong.

Justeru tidak hairanlah pada Ja­nuari tahun ini sahaja, Sabah mencatatkan peningkatan jumlah ketibaan pelancong 4.3 peratus iaitu sebanyak 253,887 orang berban­ding sebanyak 243,398 pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, kemasukan pelancong asing me­ningkat seba­nyak 19.6 peratus de­ngan pecahannya dari China (84.3 peratus), Korea Selatan (30 peratus), Taiwan (18.3 peratus), Brunei (2.5 peratus) serta United Kingdom dan Ireland seba­nyak 26.9 peratus.

Di sebalik insiden penculikan oleh pengganas Abu Sayyaf, yang tidak dinafikan sedikit-sebanyak mengundang persepsi negatif ma­syarakat luar, sektor pelancongan negeri terus berkembang.

Pelbagai usaha yang dilaksa­na­kan kerajaan sejak insiden pen­cerobohan pengganas di Lahad Datu, untuk memastikan keselamat­an rakyat Sabah dan pelancong tempatan serta asing sentiasa terjamin, nampaknya dihargai dan diyakini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam ucapan­nya semasa pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-14 baru-baru ini, memberitahu Kerajaan Pusat telah memperuntukkan dana yang besar untuk penambahbaikan kawalan keselamatan sedia ada di negeri ini terutama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Beberapa projek di wilayah Esscom telah diluluskan seperti pembinaan Pos Pulau Sipadan, Semporna serta Kompleks Perumahan dan Bangunan Pentadbiran Batalion 20 Pasukan Gerakan AM (PGA) di Beluran.

“Turut dibangunkan Kem Tentera Darat Esscom di Felda Sahabat, Lahad Datu serta peningkatan keupayaan sistem radar di kawasan Esscom,” katanya.

Dengan segala usaha yang diambil, sudah tentulah Kerajaan Pusat bersama-sama kerajaan negeri mengharapkan agar dapat menangkis persepsi negatif masyarakat luar terhadap negeri ini seterusnya mendorong mereka yang belum pernah ke Sabah merancang untuk berbuat demikian, bahkan benar-benar berkunjung ke Negeri Di Bawah Bayu ini.

Pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16 Mei ini adalah antara usaha tidak langsung mempromosikan negeri ini.

Sebagai tanda sokongan, Kumpulan Utusan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri menganjurkan Festival Hari Guru bermula 13 hingga 16 Mei ini di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kumpulan Utusan telah menganjurkan festival berkenaan sejak 2009 sebagai salah satu cara syarikat ini menghargai sumbangan para guru.

Festival ber­kenaan akan dirasmikan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada 13 Mei ini.

Sambutan dan Festival Hari Guru 2016 sudah pasti membawa kemeriahan dan memberi kegembiraan berganda buat rakyat Sabah yang baru sahaja menyambut Pesta Kaamatan pada 1 Mei lalu.

Yang pasti mesej untuk meng­ajak masyarakat dari dalam negara khususnya dari Semenanjung dan pelawat dari luar negara berkunjung ke Sabah dapat disampaikan.

Kalau datang cuma sehari pun tidak mengapa, pergilah ke Waterfont untuk menikmati masakan laut. Jangan terkejut kalau ada nelayan yang menawarkan seikat lobster segar dengan harga hanya RM50 kepada anda!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain