Usaha yang diambil oleh Dr. Mahathir pada masa itu boleh disifatkan sebagai titik mula perluasan peranan serta fungsi Islam dalam urusan negara khususnya dalam konteks pentadbiran kerajaan, sekali gus membuktikan Islam bukan setakat menyentuh tentang soal ibadat tetapi lebih daripada itu.

Islam adalah cara hidup dan segala manualnya terdapat dalam al-Quran yang kemudiannya diperincikan oleh hadis-hadis sahih Rasulullah SAW. Malah langkah yang diambil oleh Dr. Mahathir itu bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan negara ini.

Atas asas tersebut banyak pihak berpandangan, langkah awal yang diambil oleh Dr. Mahathir berkenaan telah memberi satu gambaran jelas mengenai hala tuju pentadbirannya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Setelah terlaksananya dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan, Dr. Mahathir terus mengorak langkah memperkenalkan dasar Islam dalam pelbagai sektor lain termasuk ekonomi dan kewangan.

Antara jasanya yang terbesar ialah langkah beliau memulakan sistem kewangan Islam secara formal, sebagai opsyen kepada sistem kewangan konvensional sedia ada. Semuanya bermula dengan tertubuhnya Bank Islam pada 1983 iaitu institusi kewa­ngan berasaskan syariah pertama di Malaysia.

Sejak penubuhannya 35 tahun lalu, kewujudan Bank Islam telah menjadi pemangkin kepada perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia apabila boleh dikatakan semua bank tempatan serta sebahagian bank luar negara mempunyai entiti perbankan Islam masing-ma­sing ketika ini.

Rentetan daripada penubuhan Bank Islam, kerajaan turut memperkenalkan sistem insurans Islam atau lebih dikenali dengan nama takaful. Juga sebagai pilihan kepada sistem insurans konvensional. Jika diimbau sejarah pelaksanaannya, takaful mula ditawarkan selepas Syarikat Taka­ful Malaysia Berhad beroperasi sepenuhnya pada 1984.

Mulai saat itu pertumbuhan industri takaful di Malaysia amat memberangsangkan dan sehingga kini terdapat berpuluh-puluh syarikat insurans yang menawarkan polisi takaful kepada orang ramai.

Di era pentadbirannya juga Bahagian Hal Ehwal Agama Islam (Baheis), Jabatan Perdana Menteri telah dinaik taraf kepada sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Naik taraf itu berlaku pada 1 Januari 1997.

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 12 Januari 1982 dan institut pemikir, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 turut direalisasikan ketika zaman pemerintahan Dr. Mahathir.

Inilah antara komitmen Dr. Mahathir dalam meletakkan Islam pada kedudukan sewajarnya di era pemerintahannya selama 22 tahun (1981-2003). Yang pasti, dasar penerapan nilai-nilai Islam yang dicetus oleh beliau kira-kira 36 tahun yang lalu masih mempunyai impaknya sehingga kini.

Dalam hal yang lain pula yakni selepas Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh dan kali kedua buat dirinya ekoran kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, banyak pihak tertanya-tanya tentang komitmennya dan kerajaan Pakatan Harapan terhadap Islam. Adakah masih seperti dahulu atau sudah berubah?

Akhirnya persoalan itu terjawab apabila beliau secara terbuka mengulangi komitmen ke­rajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan Islam di Malaysia berdasarkan al-Quran dan hadis sahih. Perkara itu dinyatakan ketika berlakunya pertemuan antara Dr. Mahathir dengan 37 orang ulama dan cendekiawan Islam di pejabatnya, 31 Julai lalu.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri; Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Felo dan Pensyarah Pusat Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti dan pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan timbalannya, Fuziah Salleh.

Menurut Mujahid, dalam pertemuan tersebut, Dr. Mahathir turut berkongsi aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai model Islam kontemporari berpandukan kepada gagasan rahmatallil A’lamin (rahmat untuk setiap alam).

Justeru, kata Mujahid ketika mengulas pertemuan itu baru-baru ini, adalah penting untuk setiap ulama dan cendekiawan Islam negara ini memberikan input, pandangan dan syor kepada kerajaan agar matlamat itu tercapai melalui beberapa pertemuan yang akan ditetapkan antara ulama dan umara (pemimpin) selepas ini.

Dr. Mahathir juga memberi mesej tentang peri pentingnya penguasaan orang Islam dalam bidang sains dan ekonomi selain menyatakan komitmen kerajaan untuk membanteras fahaman ekstremis habis-habisan.

Mengulas pertemuan itu, Mohd. Asri dalam catatan Facebook miliknya pula berkata: ”Hari ini (31 Julai) perjumpaan YAB Tun Mahathir dengan tokoh-tokoh agama. Semasa Tun Mahathir mengucapkan “Kita sudah tiada jalan lain untuk menjadi umat Islam yang berjaya melainkan kena baca al-Quran”, Tun menangis dan tidak mampu lagi meneruskan ucapan. Saya juga rasa sebak. Semoga Allah merahmati Tun.”

Cukup mendalam kata-kata yang diucapkan oleh Mufti Perlis itu ketika menggambarkan situasi dan emosi Dr. Mahathir da­lam pertemuan tersebut. Mungkin ini juga menjelaskan lagi hasrat Dr. Mahathir yang mahu kita semua kembali meru­juk al-Quran dan hadis sahih dalam memastikan kejayaan di dunia dan akhirat.