Namun perkara itu dinafikan oleh menterinya sebaliknya beliau sebenarnya mencadangkan pengusaha tanaman sawit perlu memikirkan tanaman alternatif atau multi cropping bagi menampung pendapatan mereka sementelah harga komoditi tersebut sedang merudum kini.

Pun begitu, adakah industri minyak kelapa sawit hari ini begitu parah sehinggakan idea-idea sedemikian ditimbulkan oleh kementerian yang bertanggungjawab terhadapnya.

Ikuti penjelasan Timbalan Menteri Industri Utama, DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN bersama wartawan Utusan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan ASHRIQ FAHMY AHMAD berkenaan isu tersebut.

HARGA MINYAK SAWIT TERUS JATUH?
Ada dua perkara yang memerlukan tindakan segera kerajaan berkenaan isu ini. Pertama tentang harga, kita berhadapan dengan kadar harga yang agak rendah sejak tahun lalu, sehingga mencecah RM1,600.
Bagaimanapun ada sedikit peningkatan bermula awal tahun ini dan telah pun melepasi RM2,100. Mengurus kelapa sawit ini kita perlu memahami konsep supply and demand ada penawaran dan permintaan. 
Kerajaan kini bersungguh-sungguh mencari pasaran baharu dan kita tahu pasaran tersebut adalah seperti di Afrika Utara, Iran, Turki kerana mereka berpotensi membeli minyak sawit kita.
Kita juga sedang dalam usaha supaya pembeli sedia ada membeli pada kuantiti  lebih daripada biasa, jadi ini tentunya dapat membantu memastikan hasil sekitar 19 juta tan minyak kelapa sawit dapat dijual. 
Kementerian juga sedang melakukan program secara menyeluruh iaitu program pensijilan MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil). Kita mahu setiap pelanggan dan pengguna faham bahawa setiap titis minyak kelapa sawit kita hasilkan adalah melalui proses mampan dan berkualiti. 
Untuk tahun ini khususnya dana yang diberikan oleh kerajaan kepada pekebun-pekebun kecil bertujuan membantu mereka sebagai insentif dan kita harapkan pada Januari 2020 semua ladang termasuk yang diuruskan oleh agensi-agensi berkaitan dapat kita sijilkan.

FAKTA KUALITI MINYAK SAWIT
Kita perlu memberitahu kepada dunia bahawa produk minyak sawit dari Malaysia berbeza dengan negara-negara lain yang turut menghasilkan produk ini, misalnya Indonesia yang kita tahu lebih agresif. 
Malaysia harus bersama-sama meningkatkan pasaran dengan lebih agresif, pada masa yang sama kita perlu bergabung dengan negara-negara yang turut mengeluarkan minyak kelapa sawit di bawah majlis pengeluar-pengeluar minyak kelapa sawit di mana Malaysia di wakili Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 
Kerajaan akan menggunakan platform tersebut bagi menangkis serangan negatif terutamanya daripada Kesatuan Eropah (EU). 
Pun begitu, Malaysia maklum Eropah merupakan pasaran yang besar dan mengimport sebahagian minyak kelapa sawit kita selain mampu mempengaruhi pasaran lain di dunia.
Oleh yang demikian dalam kerancakan meneroka pasaran baharu di samping meningkatkan jualan di pasaran sedia ada, negara juga perlu menjaga pengguna dari pasaran penting seperti China dan Kesatuan Eropah. 
Hal ini sedang diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh kementerian dan di peringkat dalam negeri tahun ini kita lancarkan kempen Sayangi Sawit Malaysia yang akan dirasmikan sendiri Tun Dr. Mahathir pada 24 Mac ini. 
Kementerian mahu rakyat sedar sebenarnya minyak sawit yang dihasilkan oleh negara adalah yang terbaik dan perlu digunakan 100 peratus oleh rakyat negara ini sendiri dengan yakin. 
Hari ini hanya sekitar 70 hingga 80 % rakyat yang menggunakan minyak kelapa sawit begitu juga produk hiliran berkaitan. 
Diharap apa yang diusahakan hujung tahun ini selesai melalui kempen Sayangi Sawit Malaysia, dan pasaran dalam negara turut meningkat.
Kesedaran menggunakan produk kelapa sawit oleh rakyat penting untuk menunjukkan kita juga tidak ada masalah dalam penggunaan minyak kelapa sawit. 
Fokus domestik ini penting untuk menyokong usaha negara bertahan dengan serangan-serangan dari luar yang dilakukan secara aktif dan sebahagian daripada kepimpinan Kesatuan Eropah. 
Tujuan kita adalah bagi memastikan pelanggan-pelanggan ini tidak diberikan maklumat yang salah. 
Ketika melakukan misi ke Iran, delegasi negara juga telah melakukan penerangan kepada pemain industri serta pegawai kesihatan mereka bahawa minyak sawit kita adalah selamat untuk digunakan menerusi ratusan kajian yang telah dilaksanakan.

POLITIK PERDAGANGAN
Sememangnya negara maklum bahawa minyak sayuran turut dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah dan mereka merasa terancam dengan kemampuan dan kekuatan minyak kelapa sawit.
Selama ini kempen memburuk-burukkan minyak kelapa sawit tidak menggunakan saluran undang-undang seperti akta Parlimen dan sebagainya, namun kini mereka telah masuk ke fasa tersebut. 
Oleh yang demikian negara perlu memberi maklumat  terbaharu dan pada masa yang sama tidak boleh berdiam diri terhadap tindakan tersebut. 
Antara langkah yang diambil adalah menerusi majlis yang ditubuhkan bersama negara-negara pengeluar minyak kelapa sawit lain bagi menyedarkan bahawa apa yang Kesatuan Eropah lakukan itu merupakan satu diskriminasi terhadap perdagangan. Mengapa minyak kelapa sawit diberi tekanan, tidak sebebas produk minyak lain. 
Jadi itu isu-isu yang dibawa dalam perbincangan tersebut dan Malaysia juga telah menyatakan bahawa jika diskriminasi tersebut terus menerus dilakukan kita akan bawa hal itu ke Organisasi Perdagangan Dunia (WTO), sebuah badan dunia yang mengawal usaha terhadap tindakan diskriminasi seperti itu. 
Kesimpulannya adalah selama sembilan bulan ini kementerian agak sibuk dengan pelbagai tindakan dan pendekatan yang bersifat multi pronged.
Pada masa sama kepentingan pekebun-pekebun kecil perlu terus dijaga dengan memastikan harga minyak kelapa sawit terus meningkat. 
Kita juga perlu melakukan libat urus dengan negara-negara yang menyerang kita dan terus meneroka pasaran baharu. 
CADANGAN TANAMAN ALTERNATIF 
Isu cadangan menanam tanam alternatif kepada kelapa sawit sebenarnya adalah untuk memastikan agar ada pendekatan kepelbagaian tanaman. 
Kita terikat dengan pendirian yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan tuduhan bahawa penanaman kelapa sawit menyebabkan berlakunya penerokaan terhadap kawasan hutan secara berleluasa. Hal itu tidak berlaku dan ia satu fitnah.
Malaysia masih mengekalkan kawasan hijau sekitar 50 hingga 52  peratus dan  kita menyatakan komitmen tiada lagi proses penebangan pokok hutan untuk tujuan penanaman kelapa sawit sebaliknya negara hanya mengekalkan kawasan sedia ada serta hanya menebang semula pokok-pokok kelapa sawit yang telah tua. 
Strategi kerajaan kini adalah mana-mana pembukaan kawasan baharu yang telah diputuskan sebelum ini akan dilaksanakan dan tiada lagi projek seumpamanya pada masa akan datang. 
Apa yang kita lakukan adalah menambah hasil menerusi pelbagai teknologi sedia ada hari ini, pada masa sama kerajaan menggalakkan pekebun-pekebun kecil untuk mempelbagai tanaman mereka. 
Oleh yang demikian pandangan bahawa kita mahu menggantikan tanaman kelapa sawit kepada tanaman lain adalah tidak benar kerana pendapatan industri ini adalah sekitar 80 bilion dan pastinya kita akan terus mempertahankannya.