Tambahan pula, isteri saya ada kaitan juga dengan negeri ini iaitu mempunyai saudara-mara di Semabok.

Memasuki tahun baharu 2015 menjadi catatan penting dalam hidup saya yang berasal dari Pulau Pinang untuk mula bermastautin di Melaka bagi mengetuai Biro Utusan Malaysia menggantikan Amran Mulup.

Selepas melakukan kunjungan hormat singkat ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di kediaman rasmi beliau di Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka tengah hari kelmarin, apa yang saya boleh katakan adalah Melaka ada segala-galanya.

Daripada perancangan Projek Pembangunan Melaka Gateway melibatkan kos RM40 bilion yang bakal menjadi nukleus pembangunan ekonomi baharu di negeri itu, disusuli usaha menaik taraf jajaran pantai sepanjang 73 kilometer yang dijadikan pelabuhan-pelabuhan pantai sekali gus menjadikan Melaka negeri pelancongan terulung sehinggalah ke pencapaian pelaburan tertinggi RM4.38 bilion dalam tempoh sembilan bulan pada 2014 serta dengan lebih 85,000 umat Islam berselawat Malam Cinta Rasul di Stadium Hang Tuah pada Oktober lalu, ia menggambarkan pencapaian Melaka di bawah Idris.

Ketua Menteri ini baru berusia 48 tahun, tidak jauh jarak umurnya dengan saya tetapi beliau telah menggapai beberapa kejayaan besar dalam pentadbirannya. Meskipun beliau sendiri tidak menolak sumbangan legasi kepimpinan negeri yang lepas, namun berbual dengannya di Seri Bendahara, saya secara peribadi dapat melihat beliau sebagai individu yang memiliki visi jelas untuk Melaka.

Sebagai bonus, beberapa minggu sebelum menutup tirai 2014, beliau dinobatkan semula sebagai Presiden Perhimpunan Belia Sedunia atau World Assembly of Youth (WAY).

“Kemenangan sebagai Presiden WAY juga seiring dengan pengiktirafan dunia yang diberikan kepada Malaysia yang kini menyandang jawatan Pengerusi ASEAN dan Presiden Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) baru-baru ini,” katanya.

WAY sebenarnya cukup signifikan dan menjadi nadi kepada orang muda di seluruh dunia.

Mempunyai keanggotaan 123 negara yang mana setiap satu memiliki majlis belia kebangsaannya sendiri, WAY yang ditubuhkan pada 1949 itu antaranya pernah diterajui Martin Luther King, Presiden John F Kennedy dan Allahyarham Tun Abdul Razak yang pernah menjawat Naib Presiden WAY. Ketika zaman berubah yang suatu ketika dulu WAY mencetuskan semangat untuk membawa satu sentimen pembelaan orang muda dengan meniupkan suara demokrasi, Idris kini membawa tekad menyediakan WAY untuk masa depan orang muda.

“Saya telah meletakkan gagasan iaitu mahu meletakkan orang muda yang di peringkat dunia tahap umurnya di bawah 25 tahun ini supaya mereka berada di tengah-tengah dengan tidak menyentuh mana-mana pihak. Kalau dilihat ketika ini, orang muda sentiasa disalahgunakan dengan menjadi askar yang mempertahankan sesebuah negara di perbatasan. Di sana nanti, mereka akan bertemu dengan orang muda juga dan saling berbunuhan sesama sendiri misalnya menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).

“Dengan orang muda yang dipergunakan secara sewenang-wenangnya ini, akibatnya kita ketandusan orang muda.

“Justeru, antara misi perjuangan saya adalah meletakkan sepenuhnya penglibatan orang muda dalam proses membuat keputusan dan ini akan saya bangkitkan lagi dalam Dialog Belia Kebangsaan Melaka tahun ini. Kalau kita hendakkan sesuatu untuk pembinaan negara pada masa depan, ia memerlukan penyertaan orang muda,” katanya sambil memberitahu ibu pejabat WAY yang sebelum ini pernah berpangkalan di London, United Kingdom dan Copenhagen, Denmark kini berpindah ke Melaka.

Idris di akhir perbualan bagaimanapun memberitahu cabaran politik semasa juga cukup getir buat Melaka.

“Semua kaum perlu dijaga dengan adil dan saksama,” tegasnya.

Melaka, katanya, sentiasa menjadi perhatian `pihak di sebelah sana’.

“Kalau kita tidak jaga dengan baik, kita akan kehilangan empat atau lima kerusi DUN yang sudah tentu menggugat kedudukan Barisan Nasional negeri,” katanya.

Walaupun terlepas daripada musibah banjir, orang Melaka bersama-sama kerajaan negeri, pihak swasta dan NGO sanggup bertungkus-lumus mengumpulkan barangan keperluan asas termasuk makanan dan wang tunai berjumlah lebih RM500,000 untuk untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

Salam perkenalan daripada saya buat rakyat Melaka.