Kajian Pengguna Internet MCMC 2016 menunjukkan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia mencapai hampir 78 peratus. Kajian juga mendapati golongan yang masih bersekolah menghabiskan paling banyak masa dalam talian, iaitu sebanyak 20.9 jam seminggu.

Anak-anak muda masa kini dikatakan sebagai digital native yang merujuk kepada mereka yang dilahirkan dan dibesarkan pada zaman teknologi digital. Namun begitu, familiariti mereka dalam hal ini tidak bermaksud mereka terhindar daripada kesan negatif penggunaan Internet.

MCMC sentiasa mendidik orang awam melalui media massa dan media sosial menggunakan Internet secara selamat dan bertanggungjawab melalui program advokasi Klik Dengan Bijak, selaras dengan peranan MCMC sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

MCMC juga bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk membangunkan modul pendidikan keselamatan penggunaan Internet untuk program "Modul Pendidikan dan Keselamatan Keluarga dan Anak” (PEKA) yang disasarkan kepada golongan ibu bapa dan penjaga.

 

2. Bagaimanakah keinginan untuk sentiasa berada dalam talian dan ketagihan media sosial memberi kesan buruk kepada mereka?

 

Menurut Pengerusi Persidangan Persatuan Ketagihan Internet Antarabangsa (ISIA) 2016 dan Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr. Norharlina Bahar, penggunaan Internet secara berlebihan boleh membawa kepada kegagalan menjalankan rutin seharian.

Ketagihan media sosial akan menyebabkan mereka tidak boleh melakukan apa yang sepatutnya, contohnya tidak mahu pergi ke kelas, tidak melaksanakan tanggungjawab di rumah dan tempat pembelajaran, serta tidak turut serta dalam aktiviti sosial. Ia juga boleh menyebabkan keresahan, kemurungan, produktiviti bekurangan dan pemencilan sosial.
 

3. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan kanak-kanak melayari Internet dengan selamat?

1. Hadkan masa untuk melayari Internet.
2. Galakkan pemikiran kritis dan pelakuan sopan semasa berkomunikasi dalam talian.
3. Letakkan komputer di ruang keluarga dan bukannya di bilik anak-anak.
4. Pantau aktiviti anak-anak dalam talian dan akaun media sosial mereka. Pastikan maklumat peribadi mereka tidak didedahkan di Internet.