Tanpa disuruh, seluruh pe­losok negara berkibaran de­ngan bendera, semuanya ke­rana kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 pada bulan Mei lalu. 

Di tepi jalan, di atas pokok, di kenderaan, lebuh raya, jambatan dan bangunan tertentu kelihatan bendera parti politik khususnya Barisan Nasional (BN), PKR, Pas dan beberapa parti lain berkibaran. 

Begitulah kemeriahan me­ngibarkan bendera sempena PRU yang datang empat atau lima tahun sekali. 

Ketika ini juga di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seri Setia dan Balakong sedang ber­hadapan perang bendera parti politik. Kibaran bendera itu juga sebagai simbol kekuatan parti ber­kenaan dan bertujuan menarik perhatian pengundi.

Alangkah ­baiknya jika keghairahan yang sama dapat diterjemahkan ketika negara dalam suasana menyambut ulang tahun kemerdekaan atau Hari Kebangsaan yang disambut setiap 31 Ogos. 

Kempen kibar Jalur Gemilang sudah diadakan tetapi sambutan yang diterima khususnya melibatkan orang awam bolehlah dianggap dingin. Lihat sahaja di jalan raya atau lebuh raya. 

Berapa banyak kenderaan awam atau persendirian yang mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan negara?  

Cuba kira dalam 10 buah kenderaan yang bergerak, berapa banyak kereta atau lori yang me­ngibarkan Jalur Gemilang? Mungkin satu, dua atau tidak ada. 

Begitu juga di tepi jalan dan bangunan awam atau swasta.

Tidak nampak keghairahan untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan Hari Kebangsaan. Bendera kebangsaan adalah simbol kedaulatan sesebuah negara. Tidak ada bendera lain atau bendera baharu walaupun kerajaan yang memerintah Malaysia

sudah berubah. Dulu BN sekarang Pakatan Harapan. Benderanya tetap sama. 

Pernah suatu masa dahulu ada pihak yang menganjurkan peraduan yang menawarkan hadiah-hadiah menarik. Syarat penyertaannya mesti membeli bendera berkenaan dan kibarkan di kenderaan. 

Ada kaedahnya untuk memilih pemenang. Tidak kisahlah, membeli Jalur Gemilang untuk memenangi hadiah atau atas semangat patriotisme tetapi sekurang-kurangnya, timbul perasaan untuk mengibarkan bendera kebanggaan negara. 

Ketika itu banyaklah kende­raan mengibarkan Jalur Gemilang. Ada juga usaha pihak-pihak ter­tentu terutama syarikat-syarikat swasta yang memberikan Jalur Gemilang secara percuma. 

Tahun ini, tidak pasti berapa banyak syarikat yang menyumbangkan Jalur Gemilang. Mungkin inikah yang dinantikan oleh masyarakat iaitu mendapatkan bendera percuma. Mahal sa­ngat­kah Jalur Gemilang dengan 14 jalur merah putih, bulan dan bintang 14 pecahan berwarna ku­ning berlatar belakang warna biru itu sehingga terpaksa menanti sumbangan percuma? 

Sebenarnya, tidak terlalu mahal malah mampu dibeli mengikut saiz. Harganya lebih murah daripada sekotak rokok. Bendera untuk kereta boleh dibeli tidak sampai RM2 satu. Ada juga yang mengibarkan Jalur Gemilang di tiang bangunan masing-masing tetapi

dalam kalangan mereka memasang se­kadar ada kerana bendera yang berkibar itu dalam keadaan lusuh atau koyak mengikut jalur. 

Mengibarkan Jalur Gemilang menunjukkan semangat patrio­tisme dan mampu menghidupkan suasana sambutan. Tidak dinafikan ramai juga yang krea­tif dalam menyemarakkan semangat sambutan Hari Kebangsaan ini dengan membina pelbagai reka bentuk yang turut menam­pilkan Jalur Gemilang. 

Kenapa kesedaran untuk mengibarkan Jalur Gemilang semakin pudar? Adakah ge­nerasi hari ini sudah tidak patriotik, tidak peduli dengan sejarah kemerdekaan negara? Adakah 31 Ogos itu diraikan sekadar cuti umum? 

Menyertai acara perbarisan dan kemudian pulang. Lebih parah meninggalkan Jalur Gemilang di atas padang atau di mana sahaja dalam keadaan ‘lesu’ terbiar bagaikan sampah.

Dalam hal ini Selak tumpang bangga dengan kesungguhan Che Saad Noordin, 68 bekas wartawan yang begitu gigih mempromosikan Jalur Gemilang melalui program Kayuhan Solo Merdeka 2018 di ne­geri-negeri Semenanjung yang akan berakhir 31 Ogos ini. 

Tahun ini adalah kali ketiga beliau membuat kayuhan yang bertujuan mengedarkan Jalur Gemilang serta membangkitkan semangat patriotisme terutama­nya dalam ka­langan generasi muda. 

Kayuhan sejauh 2,300 kilometer itu bermula di Perlis dan akan berakhir di Pulau Pinang.  Begitulah cara seseorang untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

Dalam usia emas, beliau masih mahu menyumbang sesuatu sempena Hari Kebangsaan. 

Apa pula sumbangan kita? Sekadar melihat? Kibarlah walaupun hanya bendera kecil. Dalam usia 61 tahun merdeka ini, tidak perlu lagi rakyat diperingatkan atau dipaksa mengibarkan bendera. Kesedaran perlu ada dalam diri sendiri. 

Sekurang-kurangnya setiap rumah dapat mengibarkan Jalur Gemilang walaupun yang bersaiz kecil. Paling kurang bendera plastik yang diisi coklat untuk kanak-kanak. Kebanyakan rumah sudah tentu ada yang menyimpan Jalur Gemilang. Keluarkan dan pamer atau kibarkan di rumah anda sehingga sambutan Hari Malaysia. 

Kepada generasi muda, mereka bukanlah golongan yang memperjuangkan kemerdekaan tetapi mereka juga mempunyai peranan besar. 

Peranan mereka tidak se­perti orang yang dahagakan kemerdekaan atau bebas daripada penjajah tetapi mereka bertanggungjawab mempertahankan ke­merdekaan dan meng­isi kemer­dekaan. 

Jika alpa, negara mungkin dijajah kembali walaupun bukan melalui penjajahan oleh kuasa ketenteraan. Penjajahan boleh datang dalam pelbagai bentuk yang mungkin lebih berbahaya berbanding penjajahan ketenteraan. Justeru sayangilah Malaysia sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini Sayangi Malaysiaku. 

Begitu juga dengan lagu tema sambutan,  Kita Punya Malaysia. Setiap warganegara boleh me­nyumbang untuk Malaysia yang sudah bebas merdeka ini. Raikan Hari Kebangsaan, kibarkan Jalur Gemilang, Kita Punya Malaysia, Sayangi Malaysiaku. 

Di samping mengekalkan hubu­ngan kaum atau perpaduan dan kebebasan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, tunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dalam menjaga imej negara ini. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Contohnya, tahap kesedaran sivik yang rendah dan sikap kurang bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Kebebasan tidak bermakna kita boleh melakukan apa sahaja. Di mana sahaja kita berada, patuhilah undang-undang dan peraturan. 

Contohnya sikap di jalan raya, Ada yang hilang nilai-nilai murni semasa di jalan raya. Begitu juga sikap buruk seperti membuang sampah di merata tempat, merosakkan kemudahan awam, serta tidak menghormati orang tua. 

Tentu ada yang masih ingat bagaimana seorang remaja maut dihempap kerusi yang dicampak dari tingkat atas pangsapuri. 

Dalam tempoh 61 tahun ketika negara menikmati kemajuan dalam pelbagai bidang, amat malang nilai-nilai moral dan sahsiah diri dalam kalangan masyarakat masih rendah. Sesuatu perlu dilakukan supaya keadaan lebih baik. 

Isikan kemerdekaan ini dengan nilai-nilai yang baik. Selamat Hari Kebangsaan!