Kesesakan berlaku kerana ketika itu pembangunan sungguh pesat. Banyak infrastruktur baharu dibangunkan. Premis perniagaan, projek perumahan dan kompleks beli-belah rancak dibina di tengah kota raya. Pada waktu yang sama pelbagai projek jalan dan lebuh raya baharu turut dibina di dalam bandar raya itu.

Projek-projek seperti jalan lingkaran luar dan dalam, lebuh raya rentas bandar dan sistem aliran transit ringan menjadi punca ibu kota mengalami kesesakan lalu lintas yang amat teruk sepanjang masa.

Jalan raya dua lorong bertukar menjadi selorong kerana ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan tersebut.

Walaupun begitu, warga kota lama kelamaan sudah menjadi alah bisa tegal biasa dengan keadaan sedemikian. Apabila projek-projek itu mula siap secara berperingkat, sedikit sebanyak kesesakan harian dapat dikurangkan. Para pengguna mempunyai lebih banyak jalan raya pilihan untuk masuk ke tengah kota setiap hari.

Wajah Kuala Lumpur turut berubah. Selain ada banyak bangunan pencakar langit yang hebat dah gah, jaringan sistem jalan dan lebuh raya turut bertambah. Walaupun kesesakan jalan raya masih berlaku dan tidak akan berakhir sampai bila-bila pun, warga kota sudah tidak mengeluh seperti dahulu. Sekurang-kurangnya mereka sudah ada kemudahan pengangkutan awam alternatif sekiranya tidak mahu memandu ke tempat kerja.

Pada hari ini, warga kota lebih banyak mengeluh tentang kualiti jalan raya. Kalau dahulu mereka terpaksa meredah kesesakan, hari ini mereka mengharungi rupa bentuk jalan raya yang buruk dan parah. Hampir semua jalan raya bersituasi sebegini, berlubang, tidak rata, beralun, retak, berlopak serta dipenuhi sisa tumpahan simen yang membentuk bonggol-bonggol seperti busut kecil.

Rupa wajah jalan raya seumpama itu ada di mana-mana sahaja di seluruh negara. Kualiti buruk jalan raya `bukan milik’ bandar-bandar besar lagi. Keadaan sudah berjangkit ke jalan-jalan raya di bandar-bandar kecil atau kampung. Kalau memandu atau menunggang motosikal pada waktu siang, boleh juga mengelak tetapi pada waktu malam atau ketika hari hujan, hampir setiap orang sudah ada pengalaman `terjun lubang.’

Bercakap soal kualiti dan rupa wajah jalan raya di negara ini boleh menyebabkan ramai orang naik darah, kecewa, marah, dan hampir berputus asa. Paling menjolok mata dan menyakitkan pandangan ialah ketika melihat jalan yang elok diturap hari ini sudah `dinoda’ keesokan harinya.

Entah apa dan di mana silapnya, ada sahaja kerja-kerja mengorek dijalankan sebaik sahaja kerja menurap jalan baharu dilaksanakan.

Pemandangan kerja-kerja menggali dan mengorek jalan hari ini, menurap keesokannya dan mengorek lagi jalan yang sama pada hari lusa sudah menjadi satu pemandangan biasa.

Lubang yang ditampal atau diturap hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja. Lebih buruk lagi ada jalan yang dikorek, tidak sempat ditimbus dan diturap pada hari yang sama di tinggalkan ternganga. Rupanya tidak ubah seperti perangkap maut yang sudah banyak kali meragut nyawa atau mendatangkan kecederaan parah kepada pengguna jalan raya. Jumlah kenderaan yang masuk bengkel jangan kiralah.

Jalan yang sudah diturap terpaksa diulang turap kerana kualiti turapannya sangat buruk. Itu pun setelah banyak kali aduan. Kalau tidak ada komplen, makan tahun pun tidak ada yang peduli.

Itu satu hal. Satu bab lagi bila aduan dibuat kepada pihak berwajib. Macam-macam jawapan diberikan. Antara alasan popular; ``Jalan itu bukan di bawah kami tetapi dalam bidang kuasa majlis perbandaran itu atau majlis bandar raya ini!’’

Kualiti jalan raya menjadi sedemikian rupa kerana kerja-kerja penyenggaraannya dilaksanakan secara sambil lewa, ibarat melepaskan batuk di tangga.

Kontraktor-kontraktor yang mendapat tender daripada syarikat-syarikat utiliti bagi kerja-kerja mengorek, tidak pernah peduli kualiti aktiviti menimbus dan menurap selepas itu. Soal keselamatan dan keselesaan pengguna apatah lagi, langsung tidak dipedulikan.

Setakat ini tidak nampak tindakan bagi membetulkan keadaan ini. Barangkali sudah ada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh PBT tertentu tetapi kesannya tidak dirasai oleh sesiapapun.

Rasanya seperti tidak ada sebarang tindakan pun. Keadaan jalan yang wajahnya tidak ubah seperti selepas perang masih dapat dilihat di mana-mana sahaja. Kalau ada pengawasan dan penguatkuasaan, masakan kualiti kerja akhir masih seburuk itu!

Pengguna jalan raya sebagai pembayar cukai sudah bosan dan putus asa dengan situasi ini. Sampai bila mereka harus berhadapan dengan jalan raya seperti itu? Wahai pihak yang ‘ada kuasa’, berbuatlah sesuatu!