Radio yang ke udara pada frekuensi 107.90fm di sekitar Lembah Klang itu mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik minat golongan muda termasuk meraikan Hari Radio Sedunia 2018 dengan cara tersendiri.

Sempena sambutan bertemakan radio dan sukan itu, iM4U.fm bersiaran secara langsung selama sehari di beberapa lokasi di ibu negara baru-baru ini bagi meraikan hari istimewa bagi setiap stesen radio di dunia itu.

Menurut Pengarah iM4U.fm, Kartini Ariffin, tema radio dan sukan begitu selari dengan jiwa stesen radio untuk golongan belia itu dan aktiviti yang dilakukan selama sehari itu merupakan penghargaan buat peminat dan pendengar setia stesen itu selama ini.

Katanya, memenuhi jiwa golongan muda, iM4U.fm mengatur pelbagai acara sehari bersama pendengar sempena menyambut hari radio sedunia itu di beberapa lokasi di sekitar ibu negara.

Antara aktiviti diadakan termasuk mengajak pendengar bersiaran secara langsung bersama-sama penyampai radio iM4U.fm iaitu Thevanesh, Ira, Anas, Tyler, Amrita, Shrizz dan Zaried melalui tiga sesi bermula pagi sehingga ke malam.

Pada sebelah pagi, kru iM4U.fm bersiaran di sekitar KL Sentral, Masjid Jamek dan Pasar Seni sambil mengadakan sukan rakyat bersama-sama pendengar.

Kru radio itu kemudian ke beberapa lokasi riadah di ibu negara seperti Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Tasik Perdana bagi bersiaran secara langsung pula sambil mengajak pendengar menyertai aktiviti ketahanan fizikal santai di sana.

Sementara pada sebelah malam pula, kru iM4U.fm bersiaran langsung dari Subang Jaya pula untuk mengadakan aktiviti berkaitan futsal. - UTUSAN ONLINE