“KALAU tak kerana dibunuh Jepun, jumlah orang Che Wong mesti jauh lebih ramai daripada yang ada sekarang,’’ ujar Tok Batin, Bak Raja Tek, 74.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Batin Bak merupakan saksi kekejaman tentera Jepun yang masih boleh ditemui di penempatan Orang Asli Che Wong di Kampung Sungai Enggang, Lanchang, Pahang.

Batin Bak berkata, walaupun zaman penjajahan berlaku semasa beliau masih kanak-kanak, beliau tidak pernah melupakan kekejaman tentera Jepun melalui kisah yang sering diceritakan oleh ibu bapanya.
  “Menurut cerita mak ayah saya, sebahagian daripada orang Che Wong yang tinggal di hutan pada masa itu mati dibunuh askar Jepun.

  “Mereka menceroboh masuk ke kampung dan merampas semua makanan. Sesiapa yang melawan dan enggan menyerahkan makanan akan dibunuh.
  “Ramai yang tak mampu memberi makanan kepada tentera Jepun sebab orang Che Wong sendiri ketika itu kehabisan makanan,’’ katanya.

Namun begitu beliau berkata, orang Che Wong ketika itu bernasib baik kerana tidak semua penempatan mereka berjaya dikesan oleh tentera Jepun.
  “Adat orang Che Wong yang suka tinggal berjauhan antara satu sama lain di tengah-tengah hutan telah menyelamatkan mereka.

  “Bahkan ada di antara mereka yang langsung tidak tahu mengenai serangan itu,’’ tambahnya lagi.
 Menurut Batin Bak, selepas berakhir penderitaan zaman Jepun, ancaman seterusnya datang daripada pengganas komunis yang bersarang di kawasan hutan di daerah Temerloh.

Katanya, Temerloh pada ketika itu diisytiharkan oleh kerajaan sebagai ‘kawasan hitam’ kerana menjadi sarang persembunyian pengganas komunis di negara ini.
Tambah beliau, sepanjang tempoh pemberontakan itu, masyarakat Orang Asli tidak terlepas daripada menjadi mangsa kekejaman komunis.

“Masa itu, kita Orang Asli mana tahu siapa itu komunis. Mereka kata mereka orang baik yang sedang berjuang menentang kerajaan yang jahat di bandar.
“Tapi lambat-laun, kami tahu juga siapa sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya lawan,” katanya.

Menurut Batin Bak, penentangan orang Che Wong terhadap komunis bermula selepas pihak berkuasa menyalurkan maklumat sebenar kepada mereka.
Bahkan beliau sendiri mendakwa menjadi tulang belakang dalam gerakan orang Che Wong melawan komunis di Hutan Krau.

Katanya, perjuangan orang Che Wong menentang komunis sedikit sebanyak menyumbang kepada nikmat kemerdekaan yang dicapai hari ini.
   “Dalam operasi itu, orang Che Wong menggunakan kepakaran memburu yang dimiliki mereka untuk menjejak dan membunuh komunis,’’ katanya.

Selain Batin Bak, perjuangan menentang komunis turut disertai oleh adiknya, Gadong Raja Tek, 60.
Gadong ketika ditemui S2 berkata, walaupun hanya bersenjatakan sumpit, orang Che Wong berjaya membunuh sebahagian daripada anggota komunis yang ‘berdamping’ dengan penduduk kampung ketika itu.

  “Mereka diserang secara senyap dengan peluru-peluru sumpit yang dibubuh racun Ipoh,”  katanya.