Menurut Kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Intan Salina Idrus, gedung itu dibina berhampiran Pengkalan Batu di Sungai Klang pada 1856 setelah Raja Abdullah diberi kuasa memerintah Klang oleh Sultan Selangor, Sultan Muhammad Shah.

Katanya, kawasan Pangkalan Batu dipilih sebagai tapak gedung kerana lokasinya terletak berdekatan tebing Sungai Klang.

“Raja Abdullah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan untuk mengurus dan memperdagangkan bijih timah di daerah Klang.

“Beliau seterusnya mengatur penerokaan kawasan perlombongan bijih timah sehingga ke pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak yang kini dikenali sebagai Kuala Lumpur,” ujarnya.

Menyelusuri sejarah Gedung Raja Abdullah, bangunan tersebut pernah dijadikan markas pertahanan oleh pengikut Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi yang terletak tidak jauh dari lokasi berkenaan (kini merupakan pejabat Majlis Perbandaran Klang) ketika tercetusnya perang saudara pada 1866.

“Bangunan dua tingkat bercirikan seni bina Anglo-Indian abad ke-19 dengan gabungan seni bina tempatan itu kemudian dijadikan sebagai Pusat Pentadbiran Daerah pada 1874 oleh Residen Inggeris pertama iaitu JG Davidson di samping menjadi lokasi Majlis Mesyuarat Negeri Selangor yang pertama kali diadakan.

“Bangunan itu seterusnya dijadikan Ibu Pejabat Polis Selangor bermula pada tahun 1880 sehingga 1970,” katanya.

Selepas terbiar kosong, gedung itu kemudian dibaik pulih oleh Badan Warisan Malaysia pada tahun 1984 sebelum dijadikan Muzium Tin setahun kemudian di bawah seliaan Lembaga Muzium Selangor.

“Usaha konservasi bangunan disusuli oleh Jabatan Warisan Malaysia yang melakukan proses membaikpulih pada 2009 dan rawatan kelembapan dijalankan oleh Padat pada 2014,” ujarnya.

Bangunan kayu bertiang konkrit ini dibina secara memanjang dan tinggi dengan tingkat bawah berlantaikan simen sementara lantai di tingkat atas pula berasaskan kayu.

Bersesuaian dengan peranannya sebagai pusat pengumpulan dan penyimpanan bijih timah, gedung itu dibina secara mudah dan ringkas tanpa menerapkan elemen-elemen hiasan seperti rumah-rumah tradisi yang lain.

Di tingkat bawah mempunyai ruang berbilik namun di tingkat atasnya terdapat dewan besar yang dibiarkan terbuka dengan serambi di sekeliling.