Pada masa sama Awang juga berharap Rafizi Ramli akan menjadi pengamal demokrasi sebenar iaitu menghormati dan menerima keputusan yang telah ditentukan oleh perwakilan.
Sebagai pengamal demokrasi, kita bukan sahaja diberi peluang untuk memberi pendapat malah diajar untuk menerima keputusan yang dilakukan oleh majoriti walaupun keputusan itu tidak berpihak kepada kita.

Dengan berakhirnya pemilihan PKR ini, Anwar sebagai presiden diharap dapat mengukuhkan semula asas perjuangan parti di landasan yang betul setelah parti terpalit dengan isu salah guna kuasa, kegagalan kelancaran sistem pemilihan parti dan amalan korupsi yang semakin membiak di dalam parti, lebih-lebih lagi semasa tempoh pemilihan.

Kejayaan Anwar untuk mengukuhkan tonggak PKR sebagai parti yang berjaya dalam Pakatan Harapan pastinya menjadi asas penting bagi memastikan bahawa apa sahaja cabaran untuk menghalang beliau menjadi Perdana Menteri tidak akan berjaya.
Awang bimbang jika nasib Anwar yang dipecat oleh UMNO sebagai Timbalan Presiden, 20 tahun yang lalu itu mungkin akan berulang kembali sekiranya Anwar gagal menguruskan perpecahan antara kumpulan Azmin dan kumpulan Rafizi. 

Ini ditambah lagi dengan keputusan pemilihan PKR yang menunjukkan bahawa hampir semua jawatan kepimpinan tertinggi utama PKR kali ini dimenangi oleh kem Azmin kecuali Nurul Izzah.
Awang mendoakan Azmin yang memulakan langkah untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri ketika awal penubuhan parti PKR tahun 1998 lalu akan menjadi seorang timbalan presiden dan pembantu yang setia berkhidmat membantu Anwar mengecapi cita-cita PKR ini.
Awang pasti rakyat juga tidak sabar untuk menunggu Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan. 

SANJUNG RAJA BERPERLEMBAGAAN 

AWANG berasa amat kagum apabila hari ini melihat Raja-raja Melayu amat prihatin dengan nasib rakyat. Pelbagai program dirancang bukan sahaja untuk mendekatkan jurang pihak istana dengan rakyat malahan membantu rakyat secara terus terutamanya bagi mengurangkan beban dan tekanan kos sara hidup yang dialami.
Awang melihat pembangunan perumahan mampu milik yang dinamakan Rumah Impian Bangsa Johor adalah contoh terbaik yang dilakukan oleh Sultan Johor bagi memastikan rakyat golongan B40 dan golongan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri.
Keterlibatan Raja Muda Perlis, dalam program kayuhan basikal bersama NGO, tokoh  masyarakat dan rakyat jelata bukan sahaja mengeratkan hubungan antara Raja dan rakyat, malah membolehkan pelbagai maklumat dan harapan disampaikan secara langsung daripada rakyat kepada pihak istana.

Pada masa sama, ucapan dan titah daripada Sultan Perak sentiasa menjadi kebanggaan rakyat kerana dipenuhi dengan unsur intelektual, kebijaksanaan, berhemah dan yang pasti sifat peduli seorang Raja yang dirindui rakyat.
Awang merasakan keadaan ini bukanlah memberi maksud yang Raja-raja cuba untuk campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran negara tetapi lebih kepada memberi keyakinan kepada rakyat bahawa masa depan mereka bukan hanya ditentukan oleh ahli politik dan institusi Parlimen sahaja tetapi kedaulatan negara ini masih lagi dipayungi oleh sistem Raja Berperlembagaan.
Bagi Awang, ini amat penting kerana banyak kecelaruan dan kekalutan yang berlaku dalam negara sekarang sama ada dari segi pengurusan pentadbiran, pengurusan kewangan, kurangnya keyakinan rakyat terhadap badan perundangan dan kehakiman negara serta hubungan yang rapuh antara kaum dan agama seperti memberi gambaran bahawa negara di ambang kemudaratan.

Pelantikan P. Waytha Moorthy sebagai menteri yang menjaga perpaduan negara dan kesejahteraan sosial nampaknya membawa kepada wujudnya jurang lebih besar hubungan antara kaum. 
Beliau sudah diketahui umum sebagai pemimpin utama Hindraf yang agak ekstrem membela masyarakat India. Hubungan antara kaum kini dilihat kurang stabil apabila tindakan pertama yang diambil P. Waytha Moorthy sebagai menteri ialah meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Tindakan beliau ini bukan sahaja menghilangkan keyakinan kepada semua bangsa bahawa beliau boleh menjadi menteri yang adil, malah menjadi masalah kepada negara kerana tidak dapat menguruskan soal perkauman dengan bijak.

Isu ICERD ini menimbulkan pelbagai persepsi tidak puas hati rakyat. Antaranya ialah kenyataan berani oleh Hadi Awang dan kepimpinan UMNO yang bersedia untuk membanjiri jalan raya dan seluruh pelosok negara sekiranya Parlimen gagal untuk mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam terutamanya jika kerajaan bersetuju untuk menandatangani ICERD.
Awang masih lagi dapat merasai gerunnya melihat ratusan ribu rakyat Malaysia membanjiri jalan raya sewaktu beberapa siri demonstrasi Bersih dahulu yang mengajak seluruh rakyat menggesa Kerajaan Malaysia yang berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) untuk mengolah dan membaik pulih sistem pilihan raya yang lebih adil.
Bagi Awang, ancaman Hadi dan kepimpinan UMNO untuk membanjiri jalan raya adalah lebih membimbangkan kerana demonstrasi Bersih dahulu hanya untuk menentang Kerajaan BN tetapi isu ICERD adalah soal mencabar hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta agama Islam yang sememangnya isu yang lebih sensitif.

’RAJA PAYUNG RAKYAT’

AWANG pasti bahawa rakyat amat mengharapkan jaminan daripada Raja-raja Melayu bagi memastikan hak dan kebajikan mereka sentiasa dipelihara walaupun keyakinan kepada Raja-raja Melayu untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan dahulu pernah goyang. Ini terbukti ketika negara mengalami krisis integriti kepimpinan dahulu.
Rakyat masih ingat lagi ketika Parlimen gagal untuk membenarkan perbahasan terbuka mengenai salah laku bekas Perdana Menteri waktu itu dalam menguruskan dana 1MDB, institusi Raja mengambil keputusan berdiam diri.

 Walaupun pendedahan demi pendedahan dikeluarkan oleh semua institusi luar negara yang mempunyai hubungan secara terus dengan penyalahgunaan ini, jutaan tanda tangan rakyat turut dikumpul untuk memohon Raja-raja Melayu bingkas bangun, namun harapan rakyat dihampakan apabila tiada sebarang tindakan ataupun kenyataan daripada Raja-raja berhubung isu ini.
Awang juga masih ingat rakyat tertunggu-tunggu apabila Majlis Raja-raja memanggil pihak berautoriti seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Audit Negara untuk memberi taklimat secara terus tentang pendedahan krisis ketirisan menimpa negara, akhirnya kecewa apabila Majlis Raja-raja membuat keputusan untuk tidak campur tangan dalam soal ini. 
Bagi rakyat, tindakan tidak campur tangan memberi gambaran seolah-olah Raja-raja menyokong kepimpinan yang ada ketika itu. Awang amat berharap dengan Malaysia Baharu ini, penglibatan Raja-raja Melayu sudah mula dirasai secara terus oleh rakyat. Keterbukaan Raja-raja mendampingi rakyat dan ketegasan dalam mengeluarkan kenyataan yang kritis dan membina terus memberi gambaran bahawa institusi Raja-raja ini tidak akan mengambil sikap sama seperti semasa kepimpinan dahulu.

Awang juga berharap titah ucapan Sultan Nazrin bahawa kerajaan baharu perlu belajar daripada kesilapan pentadbiran terdahulu kerana rakyat sedia menolak pemimpin yang menyalah guna kuasa, rasuah dan tiada integriti menjadi tunjang kepada kepimpinan hari ini. Pada masa sama baginda juga mengingatkan agar kepimpinan hari ini perlu lebih berani dan berwawasan bagi memenuhi cabaran mendatang supaya rakyat dan negara sama-sama mendapat manfaat daripadanya. 

Awang mengharapkan peringatan yang diberi oleh Raja-Raja Melayu kepada pihak kerajaan dapat juga menjadi peringatan kepada Institusi Raja itu sendiri. Ini adalah kerana rakyat masih kecewa apabila Institusi Raja tidak mahu campur tangan sewaktu negara dihimpit dengan krisis ketirisan integriti dan salah guna kuasa dahulu.
Bagi memastikan Institusi Raja ini terus kekal relevan dan menjadi pendukung kedaulatan negara, Raja-Raja Melayu mesti berani untuk campur tangan dalam isu besar seperti ICERD ini sekiranya Parlimen dilihat gagal menanganinya dengan baik dan berhemah.
Raja Dijunjung, Pemimpin Disanjung, Rakyat Dipayung.