Mereka baharu berusia awal 20-an namun bayangkan Wan Nur Amni Wan Zaidi,24, Nurul Fazilah Zainal Abidin,22 sudahpun bergelar usahawan spa dan salon. Kemudian seorang lagi gadis muda, Siti Fatimah Esa,26 menyertai mereka di salun tersebut. Dia juga seperti Wan Nur Amni dan Nurul Fazilah menjadi bos di sebuah salun yang di­usahakan di Johor.

Siapa sangka mereka itu dahulu­nya hanya bergelar bekas pelatih Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dalam bidang salun dan spa yang dikelolakan oleh Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd.(FTC).

Namun kini, berkat usaha dan keazaman untuk memajukan diri dan dengan hasil bantuan FTC mereka mampu memperoleh pendapatan lumayan dan berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

Mengikut rekod sejak program itu dimulakan pada 2006, hampir 13,000 golongan berpendapatan rendah berusia antara 18 hingga 35 telah mengikuti program PLKK. Bagaimanapun, jumlah pelatih yang mengikuti program tersebut men­jadi usahawan masih lagi kurang jika dibandingkan dengan jumlah pe­nyertaan pelatih iaitu sekitar 2,000 orang di seluruh negara.

Pengarah Urusan FTC, Rohaizat Ahmad berkata, pada masa ini ­melahirkan pelatih yang mempunyai kemahiran semata-mata tidak mencukupi disebabkan itu FTC kini lebih menekankan untuk melahirkan usahawan-usahawan baharu.

Katanya, usahawan-usahawan yang mahu dilahirkan itu pula bukan orang lain, mereka ialah bekas-bekas pelatih dalam pelbagai bidang yang pernah mengikuti program PLKK.

Rohaizat memberitahu, pada 2016 ini, FTC mahu menumpukan ­usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan daripada mereka yang mengikuti program PLKK.

Katanya,FTC menyasarkan untuk melahirkan antara 80 hingga 100 usahawan dalam tempoh setahun.

“Bidang keusahawanan sebenarnya membuka lebih peluang un­tuk golongan muda menambah pendapatan namun tidak ramai yang berani menceburkan diri dalam perniagaan.

“Melalui PLKK, golongan muda telah mempunyai kemahiran yang sesuai cuma mereka perlu me­ningkatkan lagi keupayaan dengan menyertai bidang keusahawanan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Rohaizat menjelaskan, antara bidang yang boleh ditumpukan untuk melahirkan ramai usahawan ialah bidang pendidikan awal kanak-kanak, jahitan industri, canting batik dan juga spa serta salun.

“Bidang-bidang ini sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran jadi rugi jika pelatih PLKK yang telah mempunyai kemahiran tidak mengembangkan ke­mahiran yang ada menerusi perniagaan.

“Pihak FTC tidak akan membiarkan mereka keseorangan, kita akan bantu mereka sehingga mereka mampu berdikari sendiri,” katanya.

Rohaizat berkata, FTC akan membantu pelatih yang ingin menjadi usahawan dengan mewujudkan kumpulan mentor untuk dirujuk sebagai panduan.

Selain itu, katanya, FTC juga akan membantu usahawan baharu dari segi pengurusan akaun agar sistem kewangan mereka tidak ‘kacau bilau’.

“Kita juga akan bantu mereka berhubung dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan lain-lain lagi untuk memudahkan mereka,” ujarnya.

Rohaizat memberitahu, di Ke­lantan FTC menubuhkan Pusat Kecemerlangan Usahawan bagi menggalakkan lagi bekas pelatih PLKK terjun dalam bidang keusahawanan.

Jelasnya, antara produk yang dihasilkan oleh bekas-bekas pelatih PLKK adalah makanan sejuk beku, gunting rambut, batik, jahitan, per­khidmatan gunting rambut dan sebagainya.

“Kita juga tidak sangka pelatih FTC dalam bidang canting batik kini telah menjadi seorang usahawan batik di Kota Bahru. Dia pada mulanya hanya membuka pusat mencanting batik di satu ruang kecil di pusat kecemerlangan usahawan FTC Kota Bahru dan kini telah mampu menjana pendapatan sendiri,” jelasnya.

Tambahnya, bidang keusahawanan perlu diterokai oleh bekas pelatih FTC jika mereka mahu meningkatkan pendapatan dan mengembangkan bakat yang ada.

“Bidang kemahiran perlu namun untuk lebih berjaya pada masa depan FTC mahu pelatih mengorak langkah berani dengan menjadi ahli perniagaan,” jelasnya.