Selain itu, pemilihan ke MRSM diberikan keutamaan kepada pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

Difahamkan hampir 65 peratus ambilan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM terdiri daripada golongan B40 dan baki 35 peratus sahaja ditawarkan kepada pelajar lain. Ini menyebabkan anak-anak daripada golongan keluarga berpendapatan sederhana dan ke atas tidak berpeluang menyambung pelajaran ke sana.

Ramai antara keluarga pelajar yang cemerlang tersebut mahukan anak-anak mereka mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan juga MRSM menerusi keputusan yang terbaik dalam UPSR. Keluarga pelajar inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan SBP atau MRSM adalah harapan untuk menentukan masa hadapan pelajar tersebut.

Hal ini kerana lazimnya mereka yang melanjutkan pengajian di SBP dan MRSM akan memiliki jaminan masa hadapan yang lebih cerah untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya mudah untuk mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi termasuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Untuk mengatasi masalah tersebut, saya ingin cadangkan supaya Majlis Amanah Raya (Mara) membina beberapa lagi MRSM khas bagi pelajar yang mana keluarga mereka mampu dan sanggup membayar segala pembiayaan dikenakan asalkan mendapat pendidikan yang sama sebagaimana pelajar MRSM lain.

Sebagai perintis, disyorkan membina MRSM Ulul Albab berkonsepkan sistem pendidikan berteraskan pengajian Islam di mana pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dapat ditempatkan bagi mendapat pendidikan terbaik. Di samping itu mereka juga boleh mendalami ilmu agama selain dapat menghafal al-Quran serta memahami segala isi kandungannya dan boleh bertutur bahasa Arab serta menulis Jawi selama mereka berada di MRSM tersebut.

Saya berpendapat ramai dalam kalangan ibu bapa yang setuju dengan cadangan ini kerana ia merupakan salah satu cara untuk membantu pelajar bumiputera cemerlang tetapi tidak berpeluang untuk masuk ke MRSM, kita ambil konsep menang-menang.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN

Ampangan, Seremban.