Para peniaga pula memberi alasan, kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana kos pengeluaran meningkat saban tahun berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bayangkan keluarga mempunyai ramai anak yang masih bersekolah, dan tidak mustahil ada ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mencecah sehingga ribuan ringgit!

Pada hemat saya, satu mekanisme bantuan Back To School perlu diwujudkan untuk golongan berpendapatan rendah membeli kelengkapan sekolah terutama pakaian seragam pada harga kos rendah tetapi berkualiti.

Perkara itu tidak mustahil sekiranya GiatMara, Kolej Komuniti dan Institut Kemahiran Belia Negara dilibatkan secara optimum dalam pembuatan dan penjualan pakaian seragam sekolah kerana pusat-pusat latihan itu mempunyai infra dan cawangan hampir setiap daerah di seluruh negara.

Sementara itu, pusat-pusat zakat juga boleh bekerjasama dalam menampung kos latihan para asnaf untuk membuat pakaian seragam berkualiti dengan kos minimum, manakala pihak korporat pula boleh memainkan peranan dengan memberikan sumbangan serta berkongsi kepakaran untuk pengeluaran barangan kelengkapan sekolah mampu milik dan berkualiti.

Usaha boleh diselaraskan antara agensi terbabit untuk mengguna pakai sumber dan kemudahan sedia ada. Ini secara tidak langsung membolehkan segala infrastruktur itu digunakan secara optimum untuk membantu rakyat. Sekiranya kos pengeluaran tidak ekonomi, kerjasama boleh diwujudkan untuk mendapat bekalan pakaian seragam sekolah siap dari luar negara.

Pengeluaran produk seperti itu dipercayai dapat mengawal kos barangan daripada terus meningkat. Sekiranya inisiatif tersebut berjaya, ia bukan sahaja boleh dikembangkan pada musim pra persekolahan, bahkan pada musim perayaan. Kaedah sebegini menjadikan harga barangan lebih kompetitif kerana alternatif disediakan untuk rakyat berpendapatan rendah.

Justeru, sudah sampai masanya semua agensi, segala sumber dan kemudahan sedia ada dilibatkan secara optimum untuk membantu golongan sasaran dalam mengurangkan beban kos sara hidup tinggi.

AHMAD BUKHARI A. LATIB

Setiausaha Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP Zon 9)

Parlimen Hulu Langat