Dengan adanya kod etika berkenaan ia dapat memastikan maruah dan emosi guru-guru tidak terjejas akibat sebarang tekanan berpunca daripada serangan atau tindakan pihak ibu bapa atau penjaga yang tidak berpuas hati terhadap tugas atau tindakan diambil guru terhadap anak-anak mereka di sekolah.

Tidak dapat dielakkan lagi tugas dan beban dipikul guru dilihat semakin hari menjadi semakin mencabar. Para guru kini bukan sahaja terpaksa memikul beban tugas dan tanggungjawab berat dalam usaha mereka mendidik para pelajar sekolah.

Bahkan, pada masa sama guru juga berdepan segala isu berbangkit yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah seperti buli, gengsterisme, ponteng sekolah, gejala merokok, penyalahgunaan dadah dan seks bebas.

Segala permasalahan itu dilihat semakin sukar untuk dibendung kerana terdapat pelbagai halangan dan antara paling mencabar yang terpaksa dihadapi guru ialah halangan daripada pihak keluarga pelajar yang kadangkala dilihat lebih gemar membela dan mempertahankan anak sehingga mereka tidak dapat melihat kebenaran atau hakikat sebenarnya.

Lebih menyedihkan, guru sering diugut dengan pelbagai tindakan undang-undang seperti disaman sekiranya mereka mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap anak-anak mereka.

Oleh itu, agak sukar untuk guru-guru mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap mana-mana pelajar yang didapati terlibat dengan sebarang kesalahan disiplin. Akhirnya, pelajar berkenaan akan ‘naik kepala’ serta terus terjebak dengan kegiatan jenayah yang lebih berat lagi.

Memandangkan suasana di sekolah masa kini sudah menjadi begitu kompleks, ingin juga dicadangkan kepada pihak Kementerian Pendidikan agar mewujudkan sebuah klinik bantuan guaman di setiap sekolah ataupun sekurang-kurangnya di setiap peringkat Jabatan Pendidikan Daerah atau Negeri di seluruh negara kita.

Selain klinik penting sebagai pusat rujukan kepada mana-mana pihak di sekolah jika berlaku perkara tidak diingini, ia juga dapat menawarkan nasihat umum yang berkaitan dengan aspek perundangan semasa.

Klinik juga dapat membantu mana-mana pihak di sekolah yang beranggapan diri mereka teraniaya untuk mendapatkan nasihat undang-undang secara umum serta mengetahui langkah-langkah boleh diambil mereka sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Cadangan penubuhan klinik bantuan guaman itu boleh diusahakan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan serta Majlis Peguam Malaysia dan boleh dianggotai para pengamal perundangan yang berkepakaran dalam bidang berkaitan dengan segala isu dan permasalahan berlaku dalam sekolah dan institusi pendidikan di negara kita.

Dengan adanya klinik bantuan guaman diharapkan supaya ia dapat membawa sedikit sebanyak keredaan terhadap segala isu dan permasalahan dihadapi di dalam sekolah sesuai dengan peredaran zaman masa kini yang penuh mencabar dan dugaan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia