Penjaja dan peniaga kecil ini bukan lagi orang-orang tua atau veteran tapi kini telah dimonopoli oleh golongan muda terutama untuk ‘food truck’ dan ‘uptown’.

Kerajaan harus menyokong perkembangan ini dan memastikan penjaja dan peniaga kecil diberi hak dan kesaksamaan.

Golongan ini tidak harus dibiarkan meraba-raba dengan andaian mereka bersendirian kerana tradisi negatif inilah akan menggagalkan dasar perkembangan penjaja sekiranya tidak dipantau secara strategik dan menghapuskan masalah ‘jurang komunikasi’.

Perlu ada jalan penyelesaian kepada masalah yang sentiasa bertaut dengan rancangan-rancangan pembangunan sektor penjaja dan peniaga kecil Melayu.

Antara langkah difikirkan boleh merangsang peranan golongan ini dalam pemulihan ekonomi negara ialah memberi dorongan dan kaedah bimbingan untuk meningkatkan taraf usaha niaga mereka.

Penjaja dan peniaga kecil dengan kekuatan domestik yang ada boleh menjadi mata dan telinga, juga media bergerak kerajaan jika dapat diterjemahkan dengan bijaksana.

Langkah berikutnya ialah mewujudkan forum atau panel antara wakil-wakil penjaja dan peniaga kecil.

Jawatankuasa perunding penjaja dan peniaga kecil yang terdiri daripada wakil penjaja dan peniaga kecil yang faham dan berpengalaman dalam bidang ini perlu diwujudkan untuk menyelesaikan segala permasalahan berkaitan.

Segala masalah berkaitan pihak berkuasa tempatan melibatkan lesen, permit, penempatan baharu, penguatkuasaan, peraturan atau rancangan baharu kerajaan, hendaklah dibincangkan di peringkat jawatankuasa ini.

Cara ini hendaklah dijadikan peraturan tetap bagi semua pihak berkuasa tempatan.

Jawatankuasa perunding bermatlamat memberi maklum balas kepada pihak kerajaan dan mempertimbangkan hubungan yang sedia ada antara penjaja dan peniaga kecil dengan agensi-agensi kerajaan.

JAMALUDIN ABU BAKAR

Bekas Ketua Penerangan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Johor