Akta ini sudah lama diguna pakai semenjak zaman penjajahan British lagi. Akta yang telah berusia 70 tahun ini telah dirangka bagi menyelesaikan masalah-masalah berbangkit pada awal penubuhan negara.

Suasana masa kini telah banyak berubah lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Rakyat negara ini inginkan sebuah negara baharu yang ditadbir lebih baik serta memiliki satu bentuk undang-undang yang tidak menekan mana-mana pihak untuk tampil bersuara demi manfaat dan kemajuan negara.

Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi adalah kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Sejajar dengan prinsip yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan ini, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk meminda atau menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan akta lain yang lebih terkini serta yang lebih sesuai untuk diguna pakai ketika ini.

Antara pertimbangan yang boleh diberikan ialah dengan mewujudkan Akta Keharmonian Nasional. Akta ini akan menjamin kebebasan atau hak setiap individu untuk bersuara dan memberi pendapat seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Pada masa sama, ia menjaga kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat negara ini.

Tanpa adanya satu bentuk akta yang mempunyai keseimbangan ideal dan sesuai dengan keadaan semasa, ia sudah pasti akan merencatkan kebebasan atau hak individu untuk bersuara sekali gus menyukarkan negara kita menjadi sebuah negara maju serta berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Bagi merealisasikan cadangan ini, pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada beberapa pakar perundangan khususnya berkaitan hak asasi manusia seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan serta pihak Jabatan Peguam Negara.

PENSYARAH USIM
Nilai, Negeri Sembilan