ISU diskriminasi di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan
ISU diskriminasi di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan oleh majikan. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

CADANGAN beberapa pihak untuk mewujudkan satu akta khusus bagi menangani masalah diskriminasi di tempat-tempat kerja perlu disokong semua pihak. Akta berkenaan sebagai memberi keadilan serta perlindungan yang lebih jelas kepada para pekerja di sektor kerajaan dan swasta.

Masalah diskriminasi di tempat kerja bukan sahaja melibatkan pemakaian pekerja malah boleh berlaku diskriminasi dari segi gender, agama, bangsa, warna kulit, keturunan, umur selain diskriminasi terhadap orang kurang upaya (OKU). Isu ini memberikan impak negatif bukan sahaja terhadap diri pekerja itu sendiri, malah akan turut menjejaskan reputasi dan produktiviti organisasi.

Walaupun negara kita sudah memiliki pelbagai jenis peruntukan undang-undang berkaitan dengan pekerjaan seperti Akta Kerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, namun ia dilihat tidak memadai bagi memberi perlindungan secukupnya terhadap isu ini sejajar dengan Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara.

Sehingga kini, banyak negara sudah pun memiliki akta yang sama atau hampir sama dengan cadangan Akta Antidiskriminasi antaranya Australia (Sex Discrimination Act 1984), Denmark (Gender Equality (Consolidation) Act), Jerman (Act to Establish Equality for Men and Women), Jepun (Equal Employment Opportunity Act) dan Korea Selatan (Equal Employment Act).

Jadi sudah sampai masanya Malaysia memiliki akta khusus seperti ini. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia boleh mewujudkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada pakar tempatan, wakil industri dan wakil pekerja bagi mengkaji cadangan akta ini. Dengan adanya undang-undang khusus sebegini, sebarang aduan berkaitan diskriminasi di tempat kerja dapat disiasat dengan lebih efektif sekali gus memberi isyarat kepada semua pihak khususnya para majikan di semua sektor pekerjaan bahawa isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Istanbul, Turki