Bagaimanapun mereka ditemui selamat berhampiran anak sungai di atas gunung berkenaan. Bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.16 pagi daripada pengawal gunung itu yang mengatakan mereka sesat.

Dalam satu kes lain, empat remaja lelaki sesat hampir tiga jam ketika mendaki Bukit Kledang di Ipoh. Mereka juga berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat. Kejadian itu berlaku pada 2 Jun lalu.

Pada 22 November 2014 pula sebanyak 12 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan seorang rakan mereka sesat ketika mendaki Gunung Datuk di Rembau yang akhirnya berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Semasa mereka ditemukan pada pukul 10.20 malam, kumpulan pelajar itu dalam keadaan lemah dengan empat daripada mereka mengalami cedera ringan di buku lali, ligamen, bengkak serta gatal-gatal badan.

Inilah antara kes pendaki sesat yang berlaku di negara kita. Itu belum lagi dikira kes kematian melibatkan pendaki. Antaranya kejadian seorang pendaki, Lee Kar Giat, 61, yang maut ketika menuruni Gunung Suku (di Perak) pada 9 Februari 2014.

Tidak sampai 13 jam selepas tragedi di Gunung Suku, seorang pelancong wanita dari Jerman, Viktoria Paulsen, 22, pula menemui ajal di puncak Gunung Kinabalu. Mangsa dikatakan berdiri di luar kawasan tali keselamatan di puncak Low’s untuk merakam gambar matahari terbit sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam jurang pada subuh 10 Februari 2014.

Berbalik kepada isu pendaki sesat, antara lokasi sering berlaku kes-kes seumpama itu adalah di Gunung Stong (Kuala Krai), Gunung Angsi (Kuala Pilah), Gunung Datuk (Rembau), Gunung Korbu (Ipoh) dan Gunung Kinabalu (Sabah).

Mengikut statistik yang pernah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, sebanyak tujuh kes pendaki sesat melibatkan 45 mangsa telah dilaporkan pada 2012 di negeri berkenaan. Pada tahun berikutnya bilangan pendaki sesat bertambah iaitu sebanyak 88 mangsa walaupun jumlah kes yang dilaporkan adalah sama. Pada 2014 pula, sebanyak sembilan kes yang diterima melibatkan 29 mangsa.

Menurut bomba Negeri Sembilan antara lokasi yang paling tinggi berlakunya kes pendaki sesat di negeri itu adalah di Gunung Datuk di Rembau. Pada 2012 satu kes pendaki sesat melibatkan tiga mangsa telah dilaporkan. Pada 2013 pula enam kes telah dilaporkan membabitkan jumlah mangsa sebanyak 10 orang. Pada 2014, sebanyak empat kes telah dilaporkan dengan jumlah mangsa sebanyak 18 orang.

Walaupun pelbagai langkah pencegahan sudah dilakukan seperti papan tanda keselamatan, penutupan simpang yang mengelirukan dan penetapan masa pendakian seawal pukul 7 pagi namun kejadian pendaki sesat bukan sahaja masih berlaku tetapi semakin bertambah.

Dalam menangani isu ini, tanggungjawab tidak seharusnya diletakkan 100 peratus atas bahu pihak berkuasa sebaliknya pendaki juga perlu mengambil beberapa langkah sewajarnya sebelum melakukan aktiviti tersebut.

Antara langkah yang perlu diambil, setiap pendaki perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Pihak jabatan berkenaan perlu maklum tentang aktiviti yang dijalankan. Para pendaki juga perlu membuat kajian tentang lokasi pendakian selain membaca pelbagai maklumat yang diperlukan.

Pendaki juga dikehendaki membuang sifat ego dan sombong walaupun mereka telah berkali-kali melakukan pendakian. Itu yang kadang-kadang menyebabkan mereka terdorong melakukan pendakian secara sendirian. Akibatnya, mereka hilang arah dan tersesat di hutan. Keengganan membawa jurupandu juga adalah antara faktor berlakunya kes pendaki sesat. Akhir sekali jangan lupa berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT.

ASMA’ KHOLILAH ABDUL RAZAK

Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM)