Pernah beberapa kali suasana negara gamat dengan isu pembukaan gerbang Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera.

Terbaharu adalah apabila golongan yang menggelarkan diri mereka Hindraf 2.0 secara terbuka mencadangkan supaya universiti awam khususnya UiTM dipertimbangkan untuk dibuka kepada bukan bumiputera.

Asasnya, isu ini sesuatu yang agak rumit untuk dikupas memandangkan ia melibatkan aspek sejarah, politik, undang-undang dan kebudayaan. Saya percaya bahawa ia seharusnya dibincangkan secara panjang lebar di dalam program berbentuk forum.

Namun begitu, tanpa bersikap apologetik saya dengan rendah diri percaya bahawa isu yang dikira sensitif (oleh kebanyakan orang) ini tidak sepatutnya dibangkitkan pada ketika ini memandangkan status UiTM sebagai universiti yang memberi pendidikan eksklusif kepada orang-orang Melayu dan bumiputera adalah suatu bertepatan dengan semangat penubuhan UiTM yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas di dalam Seksyen 1A Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) yang secara jelas menyebut bahawa penubuhan UiTM adalah selaras dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, kewujudan UiTM ini yang telah membentuk keunikan nilai tradisi di dalam sistem yang telah kita amalkan selama ini.

Idea penubuhan UiTM mula timbul ketika Tun Abdul Razak dan Datuk Onn Jaafar mengadakan lawatan sambil belajar ke Sri Lanka untuk meneliti dan mengkaji program luar bandar sekitar 1950.

Hasil daripada lawatan tersebut, satu kertas laporan kepada Federal Legislative Council yang dinamakan Paper No.10/1951 telah dikemukakan.

Kertas tersebut adalah tunjang asas dan tiang seri kepada pembentukan Rural and Industrial Development Authority atau lebih dikenali dengan nama RIDA. RIDA ditubuhkan pada Ogos 1951 dengan tujuan antara lainnya, untuk mempertingkatkan status sosioekonomi dan kesejahteraan umum orang Melayu.

Pusat Latehan RIDA dengan slogan ‘rebut ilmu dan amal’ telah diwujudkan di Jalan Othman, Petaling Jaya untuk menjadi pusat kepada perkembangan ilmu.

Institusi ini telah ditubuhkan secara rasmi pada November 1956 dengan menawarkan kursus persediaan bagi golongan belia luar bandar. Jumlah pelajar ketika itu hanya seramai 25 orang dan telah berkembang secara berperingkat-peringkat melalui pengetua-pengetua Dewan Latehan Rida.

Pada 1964, majlis konvokesyen pertama telah diadakan dan disampaikan sendiri oleh Tun Abdul Razak yang mana 50 graduan telah berjaya menamatkan pengajian.

Seterusnya, dalam 1967, Maktab Mara telah ditukar dan diperbaharui menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dengan menggunakan slogan ‘Usaha Jaya Mara’.

Pada ketika itu, jurusan kejuruteraan dan undang-undang termasuk jurusan-jurusan lain telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan serta matlamat penubuhan ITM. 

BEKAS SISWAZAH UITM SHAH ALAM