Terbaharu #10yearschallenge menjadi trending dalam laman sosial. Cara challenge ini dilaksanakan adalah dengan memuat naik gambar 10 tahun lepas dan dibandingkan dengan gambar terkini. Menerusi kenyataan Twitter peribadi Kate O’Neil iaitu pengasas laman web teknologi KO Insight, challenge tersebut mungkin merupakan salah satu taktik syarikat-syarikat tertentu untuk mengumpul data peribadi pengguna tanpa mereka sedari. Challenge berkenaan mungkin membolehkan pihak tertentu melatih A.I. atau Kecerdasan Buatan mengumpul data pengiraan pengecaman wajah.

Tanpa kita sedari challenge tersebut telah memudahkan pihak tertentu mengumpul set data dengan tepat dan secara tidak langsung terdedah dengan ancaman pencerobohan data peribadi. Walaupun kesahihannya masih menjadi tanda tanya, namun masyarakat perlu selidiki perkara itu.

Sewajarnya, masyarakat perlu mengambil kira kebaikan serta keburukan cabaran yang ingin dilakukan. Walaupun hanya sekadar suka-suka atau bagi melepaskan depresi diri, namun pada pandangan saya, setiap tindakan yang ingin dilakukan perlulah menitikberatkan soal keselamatan terlebih dahulu. Justeru berfikirlah secara logik dan waras agar tidak memudaratkan diri serta orang lain.

AINAA MAYA MUNIRA ISMAIL

Pensyarah UiTM