Terdapat beberapa langkah yang perlu dititikberatkan oleh mangsa banjir semasa pulang ke kediaman selepas mendapat kebenaran untuk berbuat demikian oleh pihak berwajib.

Antaranya, jangan terburu-buru masuk ke dalam rumah kerana terdapat banyak risiko kemalangan yang tersembunyi.

Periksa terlebih dahulu keadaan rumah dan lihat sama ada terdapat tanda-tanda mendapan atau rekahan pada struktur kediaman yang boleh menyebabkannya runtuh pada bila-bila masa.

Selain itu, periksa tong dan paip gas bagi mengesan sebarang kebocoran yang boleh mengundang risiko kebakaran.

Banjir juga boleh menyebabkan berlaku tumpahan bahan-bahan mudah terbakar seperti petrol, diesel dan gasolin dalam kediaman.

Oleh itu, jika terdapat kesan tumpahan bahan mudah terbakar, ia perlu dibersihkan segera. Banjir yang memasuki rumah juga boleh menyebabkan kerosakan pada pendawaian elektrik dan meningkatkan risiko litar pintas.

Jangan terus menghidupkan bekalan elektrik di kediaman, sebaiknya periksa dahulu keadaan pendawaian elektrik.

Peralatan elektrik yang telah terendam dalam air janganlah terus dihidupkan, sebaiknya bawa barangan tersebut untuk diperiksa atau dibaiki terlebih dahulu untuk memastikannya selamat digunakan.

Selain itu, semua barangan di dalam rumah hendaklah dicuci dengan bersih terutamanya peralatan memasak. Makanan yang terendam dalam banjir hendaklah dibuang walaupun bertutup sekiranya terdapat tanda-tanda telah rosak.

Ini penting bagi mengelak penularan penyakit disebabkan banjir. Sekiranya terdapat tanda-tanda awal masalah kesihatan, segera dapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Kesimpulannya, bencana banjir masih boleh memberi ancaman kepada masyarakat walaupun telah surut.

Oleh itu, langkah berwaspada perlu diambil untuk mengurang risiko kemalangan dan ancaman keselamatan.

MOHAMED KHATIF TAWAF
UiTM Cawangan Pasir Gudang, Johor