Pertubuhan wanita Islam di negara ini perlu berbincang sesama sendiri berhubung situasi yang berlaku ini dan jangan anggap perkara sebegini sebagai remeh-temeh. Ini kerana bukan itu sahaja yang mereka hadapi tetapi juga ramainya wanita Islam di negara ini menjadi ibu tunggal walaupun hanya beberapa tahun bernikah.

Kenapa dan mengapa serta apa puncanya sedemikian nasib wanita Melayu? Hendak dikatakan wanita Melayu tidak cantik dan menarik, tidak juga kerana mereka mempunyai daya kecantikan tersendiri.

Hendak katakan tidak berpelajaran pun susah juga kerana boleh dikatakan mereka mempunyai asas pelajaran mencukupi dan pekerjaan mengikut kelulusan masing-masing. Tidak ada cacat-cela, semuanya boleh dikatakan sempurna. Tetapi mengapa lelaki Melayu semakin pudar minatnya terhadap wanita bangsanya sendiri? Itulah tanda-tanya yang perlu dicarikan jawapan.

Pada pendapat saya, ada beberapa sebab dan antaranya yang ketara adalah wanita Melayu apabila sudah berumahtangga, selalunya mengabaikan menjaga badan dan berkeadaan kadangkala kusut masai apabila berada bersama suami.

Namun bila pergi berjalan atau bekerja, pandai pula mereka menghias diri. Jarang sekali diperhatikan para isteri menyambut suami pulang dari tempat kerja dengan penuh kemesraan atau menyediakan minuman.

Jauh sekali untuk hadiahkan senyuman ataupun kucupan mesra. Didapati juga ada yang biarkan keadaan di dalam rumah terutama sekali bilik tidur berselerak dan tidak terurus serta kadangkala bau hapak di sana-sini.

Berinteraksi atau bercakap dengan suami pun kadangkala suka meninggikan suara dan leteran yang tidak sepatutnya.

Oleh demikian adalah dinasihatkan supaya wanita Melayu mempelajari sedalam-dalamnya bagaimana hendak melayan dan memikat hati suami serta layanan hingga ke tempat beradu sebaik mungkin.

Peranan ibu adalah penting dan jangan malu atau sembunyikan pengajaran hidup berumahtangga kepada anak-anak gadis mereka sebelum masuk ke alam berumahtangga.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Ampangan, Seremban