Pepatah Melayu menyebut perbuatan ini ‘seperti perigi mencari timba’. Alangkah ganjil dan hampir tidak dapat dibayangkan, perkara tersebut berlaku dalam masyarakat Melayu dahulu yang berlatarbelakangkan corak kehidupan penuh adat dan kesantunan.

Mungkin ketika itu, tiada ruang untuk anak dara menyatakan hasrat dan keinginan hatinya melainkan menunggu di balik pintu dapur, mana tahu mungkin hari itu rombongan meminang kampung seberang bertandang ke rumahnya.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan ‘perigi terpaksa mencari timba’ itu membawa maksud yang kurang menyenangkan dan amat janggal sama sekali.

Begitulah ‘terdesaknya’ keadaan hingga terpaksa pihak wanita memulakan langkah bicara dan menyatakan hasrat untuk menyunting ‘kumbang’ di taman.

Seolah-olah tidak tergambar betapa jatuhnya air muka dan maruah seseorang wanita serta keluarganya sekiranya dia terpaksa menjadi pihak yang mengatur dan menyusun langkah pertama.

Namun, terdapat banyak kelompok etnik di seluruh dunia yang meletakkan kuasa memilih pasangan di tangan wanita dan keluarganya.

Dalam budaya masyarakat tersebut, pihak wanita yang merisik dan meminang pasangan lelaki malah memberikan mahar dan menetapkan tarikh perkahwinan.

Jika dilihat dari sudut sirah Rasulullah SAW, ternyata isteri baginda yang pertama, Saidatina Siti Khadijah al Kubra yang masuk meminang melalui perantaraan orang kepercayaan beliau bernama Maisarah.

Siti Khadijah memang seorang wanita hebat yang menjadi tiang utama kepada perjuangan dakwah Rasulullah SAW.

Di samping itu, iktibar yang perlu diambil dari sirah Rasulullah SAW, sekiranya seorang wanita mempunyai keyakinan, semangat kental dan positif melihat dirinya sebagai seorang insan solehah, tidak salah baginya memilih secara tegas calon suami untuk melayari hidup berumahtangga.

Masyarakat kita hari ini sebenarnya kurang arif mengenai tanggungjawab ibu bapa, bukan setakat membesarkan anak-anak malahan tidak selesai tugas mereka selagi mana anak-anak tidak dijodohkan dengan pasangan yang baik dan dapat menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sekiranya ibu bapa memainkan peranan aktif menjadi orang tengah dalam urusan jodoh anak-anak, tidak timbul tanggapan negatif mengenai perigi mencari timba!

Persetujuan dan persefahaman ibu bapa kedua belah pihak akan menjadi pencetus kepada kesejahteraan hubungan perkahwinan anak-anak mereka hingga ke akhir hayat.

Disebabkan kurang matang dan tiada pengalaman hidup, remaja hari ini terpaksa mengharungi satu perjalanan atau kembara mencari cinta sejati secara trial and error, sering kali gagal dalam usaha mereka mencari pasangan untuk membina rumahtangga.

Dalam hal ini, kita dapati semakin ramai anak gadis yang tiada lagi segan silu memulakan langkah pertama untuk berkenalan dengan seorang lelaki khususnya jika ada ciri-ciri calon suami harapan.

Mereka tidak lagi terkongkong dengan kebimbangan digelar ‘perigi mencari timba’ kerana perasaan malu itu perlu diketepikan dalam hal ‘merebut’ calon suami terbaik.

Tambahan pula, persoalan jodoh memang ketentuan Allah SWT. Kita sebagai manusia hanya diberikan kudrat untuk berusaha.

Peribahasa ‘perigi mencari timba’ itu adalah adat yang diwariskan kepada generasi kita tetapi syariah dan ketetapan agama tidak melarang usaha seorang wanita menyatakan hasrat dan pinangannya kepada seorang lelaki yang dirasakannya sesuai untuk dijadikan teman hidup, dengan syarat kemuliaan serta maruah diri serta keluarga sentiasa terjaga.

Sebagai kesimpulannya, pergaulan antara lelaki dan perempuan mestilah sentiasa dijaga. Jangan terlalu terdesak hendak berumah tangga dan berpacaran sehingga mengambil jalan mudah menjalin hubungan intim ke arah zina dan anak luar nikah kerana akhirnya akan membawa kepada keruntuhan masyarakat dan keturunan.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat 26 bermaksud, “Wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik pula.”

Pinanglah lelaki yang baik untuk menjadi teman, imam dan bapa anak-anak, janganlah sekadar mencari jejaka tampan untuk berpacaran tanpa sebarang ikatan sah.

FAZLIN AIDA CHE HUSSIN

Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)