Waktu bekerja fleksibel tidak hanya meliputi waktu bekerja malah lokasi yang berbeza tanpa perlu berada di satu tempat sama sahaja. Dengan kemunculan pelbagai teknologi moden, sistem pekerjaan yang telah lama dipakai selama ini dilihat sudah ketinggalan zaman. Waktu bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat tidak lagi dapat diguna pakai pada masa kini. Malah ia juga dilihat boleh menjadi satu faktor yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang pekerja dan menyukarkan segala proses pemantauan dilakukan terhadap anak-anak mereka di rumah, sekolah atau pusat jagaan.

Konsep sistem kerja anjal atau secara fleksibel sudah lama diamalkan di negara-negara maju. Bekerja dari rumah atau lebih dikenali sebagai Small Office Home Office (SOHO) bukanlah satu perkara asing dalam dunia moden kini.

Ia semakin diterima masyarakat, lebih-lebih lagi dengan kemajuan dan kecekapan teknologi komunikasi maklumat (ICT). Banyak manfaat dapat diperoleh dengan melaksanakan sistem aturan kerja yang baharu ini seperti peningkatan produktiviti, peningkatan tahap kesihatan serta paling penting tumpuan penuh yang dapat diberikan oleh pekerja terhadap keluarga masing-masing di rumah khususnya proses pemantauan anak-anak.

Oleh yang demikian, adalah disarankan supaya para majikan sama ada di sektor awam mahupun swasta untuk memberi pertimbangan serius bagi melaksanakan sistem aturan kerja baharu bagi melahirkan pekerja yang lebih gembira, sihat dan berproduktiviti.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)