Kepada wakil rakyat yang menang, kini masanya untuk anda buktikan janji-janji manis semasa berkempen dahulu. Masa ini adalah masa untuk bekerja. Bukan lagi masa makan-makan dan seronok-seronok.

Kuasa dan amanah yang diberikan oleh rakyat jangan dipersia-siakan. Rakyat mahu wakil-wakil mereka bekerja dan terus bekerja.

Rakyat tidak lagi mahu melihat wakil-wakil rakyat yang hanya banyak bercerita tentang perkara yang indah-indah tetapi dari segi pelaksanaannya tiada.

Jangan sekadar berwawasan ingin membuat itu dan ini, misalnya mahu bina kawasan industri tetapi selepas lima tahun sebutir kilang pun tiada. Hari ini rakyat ingin melihat hasilnya, bukan sekadar minit mesyuarat yang bertimbun.

Wakil-wakil rakyat jangan lokek dengan rakyat. Jikalau setiap kali minta peruntukan tidak dapat, tentu ada berasa terkilan dan menjauhkan diri. Kecewa mereka akan berpanjangan. Ingat semula janji semasa berkempen dahulu!

Kemesraan wakil rakyat dengan rakyat juga sangat diperlukan. Wakil rakyat perlu selalu turun ke kawasan tanpa perlu menunggu undangan dengan kad jemputan ataupun tepak sireh.

Bila-bila masa pun wakil rakyat boleh datang menjenguk kawasan dan berjumpa rakyat untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat. Wakil rakyat perlu segera datang sekiranya mendapat berita musibah seperti kematian.

Apabila melawat ke kawasan, wakil rakyat berjumpalah dengan rakyat. Jangan datang terperap di bilik gerakan sahaja. Orang kampung malu untuk berjumpa wakil rakyat tetapi wakil rakyat tidak perlu malu berjumpa rakyat.

Cuba ingat semula sewaktu kempen dan sebelum mendapat jawatan, bersalam tak henti-henti, sanggup meredah belantara untuk mendapatkan undi. Begitulah juga apabila bergelar Yang Berhormat!

Selamat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

MANOLITO

Pahang Darul Makmur