Sebenarnya, saranan itu tidak akan menguntungkan sesiapa pun, malah dijangka menggugat kredibiliti kerajaan lebih-lebih lagi negara kini sedang bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dari aspek tugas, semua penjawat awam berperanan sebagai alat penyampai maklumat kerajaan mengikut fungsi agensi dan jabatan masing-masing. Dari aspek psikologi, keberadaan mereka secara langsung bersama rakyat menyumbang faktor penting dalam mempengaruhi pemikiran dan sikap rakyat terhadap kerajaan.

Dalam konteks Malaysia, sistem penyampaian amat penting dalam membentuk keyakinan rakyat agar terus memberi mandat kepada kerajaan untuk mentadbir negara. Saya amat yakin dengan struktur pentadbiran dan kawasan liputan perkhidmatan yang diguna pakai sehingga kini di samping peranan penjawat awam dapat mempertahankan kedudukan kerajaan selama ini.

Namun apa yang dilihat menjadi isu sejak kebelakangan ini mungkin masalah tanggungan kewangan kerajaan untuk membiayai gaji, elaun-elaun tertentu kakitangan kerajaan atau penjawat awam ketika ini.

Kerajaan harus mencari alternatif lain selain memberhentikan penjawat awam dengan sejumlah pampasan. Jika terpaksa, pertimbangkan semula pelaksanaan had umur persaraan wajib 55 tahun sebagaimana diamalkan dahulu. Paling tinggi pun had persaraan wajib 57 tahun.

Sebahagian besar penjawat awam ketika ini berusia melebihi 50 tahun dan sudah pun berada pada kedudukan gaji maksimum dalam gred jawatan masing-masing. Tempat mereka yang dikosongkan kelak selepas bersara boleh diisi dengan pelantikan baharu. Sementelah kini semakin ramai yang berkelayakan dari segi kelulusan akademik dan sebagainya.

Pastinya mereka yang baharu dilantik itu akan berada pada mata gaji jauh lebih rendah. Ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Selain pemberian elaun-elaun keraian, sesetengah skim perkhidmatan atau jawatan yang tidak mustahak juga perlu dikurangkan atau ditiadakan dalam tempoh tertentu.

Langkah memecat penjawat awam secara drastik, tidak kira daripada kumpulan mana sekali pun hakikatnya bukan satu tindakan bijak. Perlu diingat, kekuatan kerajaan bukan sahaja ada pada orang politik semata-mata tetapi peranan dimainkan kakitangan kerajaan.

Meskipun mereka tidak berkempen secara langsung untuk kerajaan tetapi keberadaan dan kemesraan hubungan dengan rakyat adalah elemen penting dari sudut ‘gerak saraf dan perang saraf’ pada pembentukan nilai serta sikap positif rakyat kepada kerajaan.

SALLEH SAAD
Kedah