Jika diteliti, jumlah OKU di Malaysia melangkaui 500,000 orang dan ini adalah berdasarkan kepada pendaftaran yang dilakukan secara sukarela. Ia tidak memberikan gambaran sebenar jumlah OKU di negara ini.

Adalah dipercayai jumlah OKU lebih tinggi mengambil kira nisbah 10 ke 15 peratus penduduk sesebuah negara adalah terdiri daripada golongan OKU.

Saya berpandangan sudah tiba masanya Malaysia perlu mewajibkan pendaftaran OKU dan tidak hanya bergantung kepada status sukarela warga OKU mendaftar diri mereka kepada pihak berwajib mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apa pun jua alasan untuk OKU dan keluarga untuk tidak mendaftar termasuk ‘hak asasi’ mereka, saya melihat kepentingan amat mendesak untuk memastikan pendaftaran mereka diwajibkan.

Kita perlu mengambil contoh isu pendidikan. Semua kanak-kanak di negara ini wajib mendapat pendidikan dalam tempoh tertentu. Mengapa kita tidak mahu mewajibkan pendaftaran OKU sedangkan melalui pendaftaran ini banyak strategi intervensi boleh kita laksanakan bagi memperkasa kesejahteraan mereka.

Pangkalan data yang mantap hasil daripada pendaftaran yang diwajibkan ini boleh membantu banyak pihak berkepentingan untuk memeta, menilai, merancang dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pendidikan, pemulihan, rawatan dan latihan sekali gus memberikan perkhidmatan yang diperlukan bagi manfaat masyarakat OKU.

Melalui pendaftaran wajib ini, pangkalan data untuk OKU boleh dibangunkan dengan sistematik dan dapat dimanfaatkan pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga, Kementerian Sumber Manusia dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, perkhidmatan yang bersepadu dan kerjasama daripada semua agensi atau organisasi berkaitan OKU perlu dipertingkatkan bagi menjamin keperluan mereka dan keluarga terpelihara.

ABDUL RAZAK 
ABD. MANAF

Universiti Utara Malaysia