Jangan kata tugas ini tidak penting kerana di tangan kitalah kerajaan pilihan rakyat akan ditentukan melalui sistem demokrasi. Sememangnya nilai sekeping kertas undi ini amat mahal harganya. Oleh itu, amatlah diharapkan mereka yang telah mendaftar sebagai pemilih dapat menjalankan amanah ini dengan sebaik-baiknya.

Mengenai pengundian yang diadakan pada hari bekerja, saya kira perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana tempoh pengundian masih panjang dan masing-masing boleh merancang untuk pulang ke kampung atau mana-mana pusat pengundian berdasarkan alamat pemilih pada hari berkenaan.

Seperti kata SPR, pilihan raya umum pada hari bekerja bukannya satu perkara luar biasa sebaliknya pernah berlaku sebelum ini. Menurut SPR, pilihan raya umum pada hari bekerja pernah berlaku pada 19 Ogos 1959 (Rabu); 22 April 1982 (Khamis); 25 April 1995 (Selasa) dan 29 November 1999 (Isnin).

Hasil semakan saya daripada keempat-empat tarikh pilihan raya itu sebahagian besarnya berlaku di zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini kerana tempoh pemerintahan beliau dalam kerajaan bermula 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Jika di zaman Dr. Mahathir boleh diadakan hari pengundian pada hari bekerja mengapa tidak ketika era pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam hal ini kita tidak boleh pilih kasih sebaliknya perlu membuat pertimbangan secara lebih adil.

Tentang parti yang akan dipilih pada PRU-14, terpulanglah kepada masing-masing. ‘Tepuk dada tanyalah selera’. Namun, sebelum memangkah di kertas undi fikirlah dengan baik. Pilihlah parti yang benar-benar membela rakyat. Parti yang selama tidak jemu-jemu membantu rakyat dengan pelbagai bentuk bantuan dan parti yang menyediakan bermacam-macam kemudahan untuk rakyat.

Paling penting parti yang membela, memelihara dan sentiasa meninggikan syiar Islam. Jangan beri undi kepada gabungan parti yang pernah memperlekehkan dan merendah-rendahkan Islam. Percayalah jika gabungan ini dipilih sesuatu yang buruk pasti akan berlaku.

ABAH

Kuala Pilah