Kenapa tidak para guru memasang dua niat dalam menjalankan tugas mengajar. Pertama untuk mencari rezeki yang baik dan halal. Kedua, niat mencurahkan bakti untuk mendidik anak bangsa agar menjadi insan berguna yang akan menyumbang kepada negara pada masa depan.

Rasanya kalau dengan dua niat ini tersemat dalam hati setiap guru, pasti mereka akan keluar setiap pagi menunaikan tanggungjawab mengajar dengan ikhlas dan reda sekalipun berdepan pelbagai beban kerja.

Ini kerana dengan niat begini para guru akan bekerja bukan sekadar untuk mendapat imbuhan kewangan sahaja malah mendidik diri untuk menyumbang tenaga membuat kebajikan dalam hidup.

Para guru akan dapat sumber kewangan untuk kehidupan dan pada sama mendapat ganjaran pahala serta kebaikan yang mampu membawa ketenangan jiwa.

Hidup yang penuh dengan kerja mulia dan banyak buat kebajikan tentu menenangkan.

Tentang meninggikan lagi gaji guru seperti yang pernah diperkatakan oleh Menteri Pendidikan dalam satu program baru-baru ini, bukan cara terbaik untuk memberi kepuasan kepada guru-guru. Sebanyak mana pun duit yang diperolehi, kalau tidak diurus dengan baik ia tidak akan mencukupi.

Ramai lagi rakyat negara ini yang perlukan pembelaan untuk menaikkan jumlah pendapatan, bukan guru semata-mata. Implikasi kepada ekonomi negara juga besar sebab jumlah guru melebihi 600,000 orang di seluruh negara.

Adalah lebih baik para guru yang tertekan sangat dengan tugas di sekolah berhenti saja kerja. Ramai lagi yang berminat mahu menggantikan tempat anda. Tidak ada guna bekerja lagi kalau tidak boleh fokus kerana akan memberi kesan kepada murid kelak.

Penting juga para guru hidup ikut kemampuan kerana ramai guru hari ini berhutang membeli kereta berjenama yang membebankan kewangan seterusnya menimbulkan stres dalam hidup.

Kalau tidak terkawal akan terbawa-bawa ke sekolah. Fikir-fikirkan apa kita boleh sumbang kepada negara dan bukan harapkan apa negara boleh beri kepada kita sepanjang masa.

Contohilah ramai orang berhati mulia di luar sana yang menyumbang tenaga dengan percuma untuk membuat pelbagai kerja kebajikan dalam masyarakat.

ZULKIFLI Z ABIDIN