Saya teruja apabila Utusan Malaysia terus memartabatkan penulisan Jawi dalam helaian akhbar tersebut. Pendekatan ini sekali gus dapat menaikkan minat pembaca yang kini sukar mencari bahan penulisan Jawi. Usaha ini perlu dikekalkan dan ditambah baik kelak.

Kita perlu sedar sekiranya tiada pihak mengambil inisiatif menghidupkan penulisan Jawi, lama-kelamaan ia akan luput ditelan zaman. Bahan bacaan Jawi sekurang-kurangnya dapat membantu murid sekolah KAFA dan anak-anak kita menguasai tulisan Jawi daripada semasa ke semasa selain daripada buku-buku dibekalkan pihak sekolah.

Bagi membangkitkan semula kekuatan tulisan Jawi, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memartabatkannya. Pihak berkuasa tempatan contohnya boleh menggunakan tulisan Jawi selain Rumi untuk nama jalan. Selain itu, Kementerian Pelajaran juga boleh memainkan peranan besar memastikan pelajar dapat menguasai penulisan Jawi!

Harus di ingat, tulisan Jawi bukanlah bersifat keagamaan tetapi medium penulisan warisan Melayu dalam menyebarkan maklumat dan ilmu peninggalan sejarah bangsa kita dari zaman dahulu lagi. Diharapkan pendekatan holistik dapat digerakkan bagi memartabatkan semula tulisan Jawi di bumi Malaysia!

JAWI DIHATIKU

Putrajaya