Saya membaca Utusan Malaysia secara percuma kerana ayah saya penjual akhbar ini. Mulai umur 45 tahun, saya barulah membeli akhbar ini kerana ayah sudah meninggal dunia.

Seorang saudara saya dari Singapura adalah seorang pemegang saham Utusan Melayu, namanya Ambok Soloh, ketika itu akhbar Utusan Melayu baru bertapak di Singapura.

Akhbar Utusan Malaysia yang saya baca pada tahun 70-an banyak mengutarakan tentang masalah filem Melayu, membuatkan saya ingin berjuang untuk memartabatkan filem Melayu. Saya mohon pinjaman Mara sebanyak RM92,200 untuk menerbtkan filem Melayu. Malangnya, saya ditipu oleh pegawai terbabit. Saya gagal dalam percubaan ini.

Pada tahun 90-an, saya mengubah haluan untuk memartabatkan lagu-lagu Melayu pula. Saya mohon pinjaman RM60,000 daripada Mara untuk menerbit album Melayu. Syarikat saya berjaya menang tiga piala dalam juara lagu TV3 (album Pak Pandir). Tetapi malangnya pungutan jualan amat kurang. Penerbit album Melayu perlu unit pengedaran sendiri untuk berjaya. Menyerahkan pengedaran kepada pengedar asing membuatkan kita makan tulang dan mereka makan isi.

Mulai tahun 2000, saya di penghujung usia kini bertukar arah menjadi seorang aktivis Bugis. Saya sedang berusaha membina rumah tradisi Bugis di Johor untuk mengenang perjuangan orang-orang Bugis di Johor. Utusan Malaysia banyak membantu menyiarkan aktiviti saya. Saya akan terus menulis di ruangan Forum ini. Terima kasih Utusan Malaysia, dahulu, kini dan selamanya.

LOKMAN JUNIT

Pekan Nenas, Johor