Rumah setingkat atau dua tingkat daripada batu-bata berbeza dengan reka bentuk asal rumah tradisional Melayu yang menggunakan kayu dan mempunyai tiang tinggi. Rumah moden ini menjadi fenomena sejak 1970-an lagi yang cepat sekali diikuti orang ramai.

Sawah dan paya ditimbus untuk dibina rumah jenis ini. Lereng bukit ditarah dan pokok ditebang bagi membolehkan rumah jenis sedemikian dibina secara berleluasa.

Rumah dengan lantai tingkat bawah sama paras dengan tanah atau cuma sekadar 150 milimeter dari tanah sememangnya mengundang masalah terutama di kawasan sering berlaku banjir. Air dapat masuk terus ke dalam rumah, merosakkan perabot, peralatan elektrik dan harta benda lain.

Mampukah penduduk terbabit membeli perabot dan peralatan elektrik baharu setiap kali selepas banjir? Bukankah ini kerugian besar kepada penduduk yang rata-rata mempunyai pendapatan bulanan seisi keluarga yang tidak tinggi?

Dalam pada itu, kediaman sedemikian juga terpaksa bergantung kepada pendingin hawa kerana tiada sistem pengudaraan efisien. Tiada lagi pergerakan udara yang bebas di dalam rumah.

Dinding daripada batu-bata dan konkrit menyimpan haba matahari sampai malam, terutama jika orientasi pembukaan rumah menghadap timur barat.

Bumbung rumah kampung moden mempunyai reka bentuk kecuraman yang rendah sehingga menyebabkan tiada ruang pengudaraan untuk menyalurkan udara keluar.

Oleh itu, saya berpendapat kediaman yang mempunyai gabungan bahan binaan baharu dan reka bentuk rumah Melayu tradisional adalah lebih sesuai dibina di negara ini.

ROSNI HARON

Kuala Lumpur