Tindakan tegas perlu diambil kerana penindasan terhadap etnik berkenaan di negara itu yang dianggarkan berjumlah kira-kira dua juta orang telah mencemarkan imej ASEAN yang mendukung nilai-nilai kemanusiaan.

Malaysia juga menghadapi kesan buruk apabila banyak bot pelarian sedang menunggu masa sahaja untuk memasuki negara ini kerana tidak tahan dengan penganiayaan berterusan.

Semuanya berpunca kerana kerajaan Myanmar pada 1982, telah melucutkan kewarganegaraan etnik berkenaan sehingga menjadikan mereka pelarian di negara sendiri.

Kita akur kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia tidak sampai ke peringkat memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar, tetapi saya yakin masih banyak lagi kaedah yang boleh dibuat termasuk tidak mengambil pekerja dari negara itu.

Saya juga menyambut baik program Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, kelmarin, yang dihadiri pemimpin kanan UMNO dan Pas.

Walaupun langkah diplomatik, himpunan mendesak Myanmar menghentikan penindasan dan mewujudkan tabung bantuan kemanusiaan telah dibuat; saya mendapati terdapat satu aspek yang diabaikan iaitu pendidikan.

Ini berdasarkan pengalaman saya yang sering terserempak dengan etnik Rohingya yang mendiami rumah-rumah kedai di Pusat Bandar Utara, Selayang.

Kawasan berkenaan adalah antara penempatan terbesar etnik itu di negara ini kerana kebanyakan mereka mencari nafkah dengan bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur di situ.

Kebanyakan etnik Rohingya yang berjumlah kira-kira 20,000 orang di negara ini diberikan status pelarian politik oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Rata-rata etnik Rohingya saya dapati tidak berpelajaran tinggi dan banyak tabiat mereka yang perlu diubah termasuk dari segi menjaga kebersihan.

Penempatan berkenaan memang cukup kotor dengan sampah dibuang merata-rata dan terdapat sebahagian mereka suka mengunyah sirih yang kemudiannya akan diludah di kaki lima jalan.

Ketika beratur membeli barang di pasar raya di situ, jangan terkejut melihat etnik Rohingya memotong barisan dan saya dimaklumkan oleh juruwang, tabiat berkenaan adalah lumrah.

Anak-anak etnik berkenaan saya lihat bermain-main di kaki lima kedai tanpa pengawasan orang dewasa manakala golongan remaja hanya melepak sambil membelek telefon bimbit.

Setiap keluarga, saya dapati mempunyai anak ramai dengan purata enam orang. Kadar kelahiran tinggi disebabkan mereka tidak mengamalkan perancangan keluarga kerana berpendidikan rendah.

Sesuatu yang mengejutkan saya adalah tiada sekolah untuk anak-anak Rohinya di kawasan itu sedangkan pendidikan adalah cara paling berkesan untuk membolehkan etnik berkenaan mengubah tabiat mereka dan membebaskan komuniti itu daripada belenggu kemiskinan.

Saya akui sudah ada Sekolah Komuniti Rohingya di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur yang mengikuti silibus sekolah rendah kerajaan, tetapi tidak banyak. Sekolah yang mempunyai kira-kira 85 murid dikelolakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara subjek yang wajib diajar adalah bahasa Melayu bagi memudahkan masyarakat itu bergaul dengan penduduk tempatan dan bahasa Inggeris sebagai persediaan jika mereka dihantar ke negara ketiga yang bersedia menerima etnik berkenaan.

Sehubungan itu, saya berharap Malaysia dapat mendesak negara-negara ASEAN menyumbang dana bagi menyediakan sekolah untuk etnik Rohingya.

Dalam pada itu, saya berharap aktiviti kebajikan secara berkala untuk masyarakat itu diperbanyakkan seperti rawatan perubatan percuma kerana saya dimaklumkan ramai dalam kalangan mereka menghidap jangkitan kulat, kudis buta dan kutu kerana tempat tinggal yang kotor.

Terdapat juga dalam kalangan mereka yang menderita penyakit kronik seperti batuk kering dan dijangkiti HIV tetapi tidak mendapat rawatan kerana masalah kewangan.

Program lain yang boleh dibuat adalah ceramah motivasi, kursus bahasa dan kemahiran asas.

PEMANDU VIVA

Rawang, Selangor