Sebelum itu, dua laporan polis telah dibuat oleh pengurusan baharu badan itu berkaitan sejumlah RM22 juta daripada Yayasan Tabung Haji, dikatakan telah digunakan bagi aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Selain itu ia berkaitan salah nyata serta menyembunyikan maklumat penting mengenai penjualan saham Tabung Haji pada 2012.

Berdasarkan pendedahan dan laporan polis, isu Tabung Haji bukan mengenai pengagihan hibah tidak mengikut prosedur, penyelewengan dan salah guna dana sahaja.

Bahkan ia turut menggambar krisis tadbir urus korporat yang tidak mengikut amalan terbaik.

Justeru, semakan semula garis panduan tadbir urus Tabung Haji dilihat perlu selain usaha memulihkan prestasi kewangan organisasi itu.

Sebagai sebuah entiti amanah dengan pemegang taruh utama adalah pendeposit, suara dan hak mereka perlu diambil kira di dalam tadbir urus Tabung Haji.

Peruntukan sedia ada dalam Seksyen 6(1) Akta Tabung Haji 1995 mengenai keahlian ahli lembaga pengarah perlu dipinda.

Berdasarkan peruntukan sedia ada, kuasa melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah adalah di bawah bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan Tabung Haji.

Walhal, pendeposit selaku pemegang taruh utama tidak mempunyai kuasa untuk melantik ahli lembaga pengarah yang mewakili mereka dalam memastikan operasi badan itu mengikut garis panduan tadbir urus yang baik.

Maka, sudah tiba masa pendeposit diberikan kuasa untuk melantik ahli lembaga pengarah.

Pelantikan ini dapat dibuat dengan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan ahli lembaga pengarah yang dilantik bertanggungjawab melaporkan prestasi kewangan tahunan kepada pendeposit di dalam mesyuarat itu seperti amalan syarikat tersenarai awam.

Perkara ini bukan sahaja dapat mengurangkan pengaruh politik dalam Tabung Haji, bahkan turut meningkatkan kebertanggungjawaban pihak pengurusan dan lembaga pengarah terutamanya terhadap pendeposit.

Cadangan semakan semula garis panduan mengenai kuasa tadbir urus kepada pemegang taruh ini turut disarankan bagi entiti amanah awam yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

MUHAMMAD IQMAL 
HISHAM KAMARUDDIN

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)