KERATAN Utusan Malaysia kelmarin.

Dia dihukum penjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 30 April lalu.

Walaupun langkah mewujudkan akta berkenaan amat baik, saya berpendapat pihak berkuasa tidak boleh mengabaikan program-program bagi mendidik rakyat khususnya umat Islam supaya tidak menyebarkan berita palsu.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat sekarang, apabila menerima sesuatu berita, maklumat tersebut akan terus disebarkan tanpa memeriksa kebenarannya terlebih dahulu. Sebagai orang Islam, apakah tindakan jika sampai sesuatu berita yang belum diketahui kebenarannya kepada kita?

Dalam al-Quran terdapat firman Allah yang memerintahkan umat Islam untuk memeriksa sesuatu berita dengan teliti sebelum mempercayai dan menyebarkannya kepada orang lain.

Langkah berwaspada itu penting kerana tidak semua maklumat yang disampaikan benar. Bayangkan, dengan hanya menyebarkan cerita tidak benar, dua saudara saling tidak bertegur sapa, suami isteri bermasam muka, anak-anak membenci ibu bapa, murid-murid hilang hormat kepada guru dan bermacam-macam lagi kesan buruk berita palsu ini.

Di dalam Islam sendiri ada termaktub undang-undang khusus untuk orang yang memberikan maklumat palsu. Contohnya, hukuman berat akan dikenakan ke atas seseorang yang menuduh perempuan baik melakukan zina tetapi gagal membawa empat orang saksi.

Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk menapis segala maklumat yang diperoleh terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada orang lain.

NUR SACHWANI KAHAR
Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM)