Saya berharap sangat wakil rakyat yang berkhidmat lebih tiga penggal atau berusia melebihi 60 tahun memberi laluan kepada golongan pelapis lebih muda.

Rakyat memerlukan individu sihat dan lincah untuk mewakili mereka yang dapat menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan lebih berkesan.

Malaysia sekarang telah hampir untuk menjadi sebuah negara maju dan hakikat itu bermakna kita perlu mencontohi trend di negara-negara berkenaan seperti Kanada dan Perancis yang menampilkan barisan kepemimpinan muda.

Bagi saya pengecualian hanya boleh diberikan bagi jawatan Perdana Menteri dan timbalannya yang seeloknya terus kekal dipegang oleh individu berumur.

Sehubungan itu, saya sekali lagi merayu wakil rakyat yang termasuk dalam kategori warga emas memberi peluang kepada golongan muda untuk berkhidmat kepada pengundi demi kemakmuran dan keutuhan negara tercinta ini.

Tanyalah diri sendiri adakah mereka masih lagi mampu memberikan perkhidmatan terbaik pada usia sudah lanjut.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN JAMALULLAIL

Seremban