Namun ia dilihat masih tidak mencukupi kerana masih tertumpu di kawasan–kawasan tertentu sahaja. Proses penambahbaikan juga perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya pengangkutan awam kekal selesa dan selamat untuk digunakan orang ramai.

Dengan pertambahan penduduk, pengangkutan awam akan menjadi salah satu nadi pengangkutan utama dan terpenting. Selain boleh mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya, ia boleh mengatasi masalah hutang pembelian kenderaan, pencemaran alam sekitar dan lain-lain lagi.

Penggunaan pengangkutan awam juga dilihat penting bagi mengurangkan tahap kebergantungan negara terhadap bahan api petroleum. Kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan, pembelian insurans dan lain-lain yang melibatkan penggunaan kenderaan peribadi boleh dijimatkan.

Sekiranya niat kerajaan untuk membantu industri kecil dan sederhana dengan membangunkan projek kereta nasional, maka adalah baik sekiranya sektor itu dipacu melalui pembangunan industri pengangkutan awam kerana ia turut boleh menjana pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Kerajaan juga perlu menyediakan satu pelan yang lebih komprehensif bagi membangunkan sistem pengangkutan awam. Mutu perkhidmatan juga perlu ditingkatkan demi memastikan rakyat mendapat akses mudah serta menyediakan kapasiti mencukupi bagi memenuhi keperluan penumpang pada masa kini serta penumpang baharu pada masa akan datang.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan USIM