Apabila Naib Presiden dan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah meletak jawatan, diikuti dapatan kajian Invoke Malaysia oleh Rafizi Ramli mendedahkan kejatuhan besar populariti Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam kalangan semua kaum itu menunjukkan dengan jelas keresahan mereka

Rakyat juga kini semakin muak dengan apa yang berlaku, terbaharu Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin yang saling tuduh menuduh menyalahkan antara satu sama lain dalam isu mendesak peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Selain itu, kritikan pedas oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin menggambarkan keretakan dan kerapuhan barisan kepimpinan hari bukan hanya ribut dalam cawan kopi!

Kematian anggota bomba, allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim Mohd. akibat rusuhan di sebuah kuil baru-baru ini seolah-olah tiada tindakan segera diambil, pejabat Peguam Negara dan pihak polis seakan-akan terus tidur di siang hari.

Menteri Dalam Negeri pun tidak bersuara! Apa tindakan kepada si pembunuh yang lepas bebas kini? Pada hemat saya, keributan yang berlaku menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab dan ‘double standard’ yang amat memualkan!

Bayangkan jika ada isu yang berkaitan Datuk Jamal Yunos, Papa Gomo dan lain-lain dengan pantas mereka akan diburu, keresahan rakyat menjadi lebih meluas.

Dalam pada itu, kenaikan harga barang keperluan, termasuk harga telur terus membebani rakyat dan apabila Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub mengadakan sidang media khas untuk mengumumkan harga telur turun sebanyak dua sen, rakyat mencemuh, bukan menyambutnya dengan gembira.

Saya perhatikan, bukan rakyat biasa sahaja yang resah, malah turut melibatkan pemimpin pertengahan, bawahan dan pengundi kerajaan PH sendiri.

Mereka ini merupakan golongan yang mengharapkan satu pemerintahan berintegriti, dedikasi, prihatin dan punya pelbagai idea menjana ekonomi serta kelembapan yang dialami sekarang.

Ditambah dengan harga komoditi kelapa sawit dan getah yang sangat rendah sekarang, peneroka dan petani kian terhimpit.

Sesi persekolahan yang bakal dibuka bagai sesuatu yang mengerikan kepada kebanyakan mereka.

Dengan pasaran kita di China dan Eropah terumbang-ambing, apakah masa hadapan bagi komoditi utama kita itu?

Apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara terbuka menegaskan bahawa DAP tidak ada masalah meninggalkan kerajaan jika Harapan Baru tidak tertunai, kenyataan itu bagai gegaran kuat kepada struktur asas PH.

Apakah akan ada lagi drama yang bakal disajikan di pentas PH pada tahun 2019? Rakyat memerhati dengan rapat perkembangan ini.

Cukup-cukuplah tujuh bulan yang penuh dengan penipuan data, ‘u-turn’, kenyataan menyalahkan kerajaan lama, persengketaan sesama sendiri, pembatalan projek negara dan hubungan keruh dengan kerajaan asing seperti China dan Singapura. Bergeraklah kehadapan!

MUSTAFFA SIRAJ

Batu Pahat, Johor.