Bagi meraih kemampuan dan kesenangan sebegini, sudah tentulah usaha dan kerja yang sebaiknya dan halal perlu dilaksanakan. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang kecintaan Allah SWT kepada orang yang mencari rezeki secara halal meskipun dia bersusah payah dalam mendapatkannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah cintakan hambaNya yang berusaha dalam mencari yang halal” (Riwayat Al-Dailami).

Senario pengemis jalanan kelihatan seperti sesuatu yang cukup sinonim dengan kehidupan seharian kita. Di negara yang tercinta ini, kita begitu mudah untuk menemukan golongan pengemis yang meminta-minta simpati dalam bentuk wang ringgit daripada orang awam. Bermodalkan bekas mengisi duit, berbaju lusuh dan berbau hapak dengan muka yang sedih dan mengundang belas kasihan, mereka akan mencari lokasi-lokasi strategik untuk meraih ‘pendapatan harian’ yang dikatakan lumayan. Persimpangan lampu isyarat, di hadapan mesin ATM, kaki lima pusat membeli-belah, mahu pun di pasar malam, inilah antara tempat tumpuan untuk mereka meraih laba mudah tanpa berusaha seperti mana manusia biasa.

Jika kita mempunyai maklumat atau ingin melaporkan aktiviti mengemis ini, kita boleh menghubungi pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD). Mereka mempunyai mekanisme dan standard operasi yang terbaik dalam membantu pengemis-pengemis ini.

Dr. Khairunneezam Mohd. Noor