Intipati kandungan sejarah sedia ada tidak berjaya membentuk semangat kepahlawanan dan keperwiraan serta berbangga dengan sejarah bangsa sendiri terutama sejarah peradaban Melayu dan perjuangan bangsa dalam menghadapi cabaran masa kini.

Ini yang sewajarnya Menteri Pendidikan perlu masukkan dan beri perhatian, daripada hal kisah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) meskipun ia adalah satu kisah sejarah politik negara.

Jangan jadikan ia satu tindakan politik dendam walaupun isu 1MDB telah menjatuhkan kerajaan terdahulu. Ia boleh disentuh secara sepintas lalu untuk diambil pengajaran dan pembelajaran.

Cabaran terbesar dalam subjek Sejarah ialah bagaimana pembelajaran sejarah mampu memupuk perpaduan kaum dan penyatuan bangsa di saat kita hari ini berdepan usaha memecah kesatuan bangsa dan api perkauman menebal.

Semua kaum perlu mempelajari sejarah negara ini dengan betul dan tepat serta mengiktiraf ia sebagai dokumen penting untuk dijadikan panduan.

Ini penting sebagai perjalanan ke arah pembentukan masyarakat harmoni dan bersatu padu serta tinggi patriotisme berasaskan acuan sejarah dan Perlembagaan negara.

MOHD. AZIZEE HASAN
Presiden iGuru