Aspek memantapkan undang–undang, penguatkuasaan undang–undang sedia ada serta pendidikan harus dilakukan secara lebih menyeluruh supaya masyarakat dapat menghindarkan diri daripada tabiat merokok sekali gus mampu menggalakkan rakyat hidup secara lebih sihat.

Seperti yang sedia maklum, bermula 1 Jun akan datang, tindakan undang–undang akan dikenakan terhadap mana–mana individu merokok di taman–taman awam selaras dengan pewartaan lokasi tersebut sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan Peraturan 2017).

Selepas tarikh penguatkuasaan peraturan baharu itu dilaksanakan kelak, pihak berkuasa boleh mengenakan kompaun sehingga RM5,000 dan penalti RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun terhadap mereka yang terbukti melanggar peraturan berkenaan.

Dianggarkan terdapat kira–kira 1,280 taman awam di seluruh negara dan penguatkuasaannya dikatakan akan diperluas secara berperingkat dari semasa ke semasa. Langkah terbaharu yang diambil oleh pihak kerajaan itu perlu dilihat secara positif terutama dalam usaha membendung gejala ketagihan rokok.

Selain rokok penguatkuasaan ini perlu diperluaskan kepada rokok elektronik atau vape mahupun shisha. Pengharaman menghisap rokok di taman awam sewajarnya melibatkan kedua-dua bahan ini. Umum mengetahui pihak jawatankuasa fatwa telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape 21 Disember 2015.

Walaupun Malaysia telah mempunyai pelbagai jenis undang–undang bagi mengawal selia penggunaan dan penjualan rokok dalam negara kita seperti yang termaktub melalui Peraturan– Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, namun kesemua peruntukan undang–undang terbabit adalah tidak memadai sekiranya aspek pemantauan dan penguatkuasaannya tidak diberi penekanan yang serius.

Mahu tidak mahu pihak berkuasa berkaitan harus memainkan peranan aktif bagi menguatkuasakan segala peruntukan undang–undang ada serta mengambil tindakan terhadap mana–mana pihak yang didapati menyalahi undang–undang berkenaan tanpa mengira kedudukan.

Sementara itu, tindakan keras juga perlu diambil terhadap peniaga yang menjual rokok kepada golongan bawah umur selain terhadap mereka yang didapati bersalah menjual rokok haram yang diseludup dari negara luar.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia