Bermula dengan zon selatan dan akan berakhir di zon tengah pada 31 Mac ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.

Karnival ini bertujuan memberi maklumat kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih bidang pengajian mengikut kelayakan akademik mereka.

Pastinya bidang-bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menjadi pilihan kebanyakan pelajar.

Namun begitu, fokus dan hala tuju pendidikan negara tidak hanya tertumpu kepada bidang itu tetapi mengalami sedikit perubahan apabila bidang sains, teknologi, membaca, kejuruteraan, seni, matematik (STREAM) turut menjadi tumpuan bagi tahun ini.

Bidang pelaburan mungkin asing bagi masyarakat di Malaysia. Pelajar atau ibu bapa mungkin kurang ilmu dan pengetahuan dalam bidang ini. Maka bidang pengajian ini menjadi kurang popular.

Tetapi di luar negara, bidang pelaburan ini sememangnya tidak asing lagi. Semenjak 1990-an, bidang pelaburan dan kewangan ditawarkan di kebanyakan universiti terutama di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Sebagai contoh, Stanford University, AS yang merupakan universiti kedua terbaik di dunia juga menawarkan bidang pelaburan.

Di Malaysia, kini banyak universiti tempatan menawarkan bidang pelaburan secara khusus dan elektif seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Management and Science University (MSU), dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

Pelajar perlu membuat sedikit pembacaan mengenai bidang itu memandangkan mereka kurang didedahkan di peringkat sekolah.

Ini kerana mereka sebelum ini dimomokkan dengan pelaburan saham sahaja dan menyatakannya ia merugikan, mahal, hanya untuk orang kaya sahaja dan sebagainya.

Sebenarnya bidang ini sangat luas. Jika dilihat dengan hala tuju pendidikan negara alaf baharu, bidang ini mampu melahirkan usahawan.

Pelajar yang mengusai bidang ini boleh menjadikan pelaburan sebagai sumber pendapatan tanpa bergantung dengan mana-mana majikan.

Namun begitu, jika makan gaji menjadi pilihan pelajar, bidang pelaburan tetap menjanjikan peluang pekerjaan yang baik.

NIK NUR SHAFIIKA

MUSTAFA

Pensyarah Kewangan & Pelaburan UiTM Johor