MERUJUK aduan PELAJAR TERTEKAN berkenaan sistem pendaftaran Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dalam ruangan FORUM Utusan Malaysia bertarikh 1 Jun 2016. Untuk makluman, Uniten mempunyai prosedur pendaftaran subjek yang ditetapkan dan telah dimaklumkan kepada semua peringkat pelajar melalui Portal Info Pelajar dan juga emel.

Umumnya, pelajar akan melalui proses pendaftaran subjek melalui sistem dengan sempurna jika telah melakukan proses prapendaftaran subjek melalui penasihat akademik serta telah membuat bayaran sebahagian yuran pengajian yang ditetapkan.

Dalam pada itu pelajar perlu melalui prosedur pendaftaran subjek secara manual jika prosedur awal itu tidak dipenuhi. Begitupun, pihak pengurusan Uniten sentiasa berusaha menambah baik proses pendaftaran subjek bagi memastikan pelajar dapat mengikuti kuliah masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Antara pelan tindakan dibuat ialah memantau secara dekat kelancaran proses pendaftaran berpandukan maklum balas semasa untuk penambahbaikan pada masa hadapan.

Selain itu, pihak Uniten juga dalam peringkat mewujudkan Uniten Customer Center di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (UCC UNITEN KSHAS), Muadzam Shah, Pahang bagi membantu melancarkan lagi proses pendaftaran pelajar. UCC Uniten KSHAS dijangka beroperasi pada September 2016.

PROF. MADYA DR. YAP 
KEEM SIAH

Pengarah Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Uniten