Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini adalah lebih kepada pertarungan antara Tun Dr. Mahathir Mohamad (DAP) menentang Datuk Seri Najib Tun Razak (BN) dalam menentukan siapa yang berhak menjadi Perdana Menteri. Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) pula dijangka menjadi king maker selepas keputusan pengundian diumumkan.

Saya menggunakan frasa Dr. Mahathir (DAP) kerana beliau tidak membawa idea dan fahaman beliau sendiri, tetapi hanya menjadi ‘burung kakak tua’ parti itu. Apa yang beliau cakap, hanyalah membawa tema cerita DAP sejak penubuhan parti itu sehingga sekarang. Cuma jika dulu Dr. Mahathir menjadi antagonis (pelakon jahat) mereka, hari ini beliau adalah protagonis (hero) DAP.

Yang berubah hanya watak, latar masa dan jalan cerita. Tema tetap sama iaitu negara ini dalam keadaan tenat, penuh korupsi, kronisme dan akan muflis. BN dan UMNO jahat, perkauman, menipu Melayu dan menindas orang miskin.

Dr. Mahathir dan DAP berkunjung ke seluruh negara menyatakan negara ini menuju kehancuran, dibebani masalah hutang dan korupsi melampau. Hakikatnya, Malaysia di bawah Najib tidak pernah gagal membayar apa-apa hutang. Jadi benarkah dakwaan negara ini menuju kehancuran atau bakal muflis?

Beliau menuduh Najib memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus untuk ‘merompak rakyat’ bagi membayar hutang negara dan 1MDB. Ini bukan tuduhan berasaskan fakta sebaliknya hanya untuk mengelirukan rakyat kononnya kerajaan ini zalim.

Jika GST bertujuan merompak rakyat, mengapa kerajaan memperkenalkan kadar lebih rendah berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang ditetapkan antara enam hingga 20 peratus? Rakyat perlu ingat adalah tidak benar Dr. Mahathir dan DAP berjanji mahu menghapuskan GST. Mereka hanya berjanji untuk menggantikan GST dengan sistem cukai baharu. Justeru kita perlu bertanya, apa jaminan sistem baharu lebih baik daripada GST?

Apa jaminan sistem baharu tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan? Sudah tentu tiada jaminan. Apabila kita memperkenalkan GST, harga barangan sepatutnya turun, namun harga terus naik dengan pelbagai alasan. Jika GST adalah punca kenaikan harga barang seperti didakwa pembangkang, kenapa selepas tiga tahun pelaksanaannya, harga barangan masih terus naik? GST tidak lagi naik selepas pengenalannya pada 2015. Namun tiga tahun selepasnya kita masih membincangkan kenaikan harga barang. Nyata faktor lain yang mempengaruhi harga barang.

Mari kita berfikir secara waras, apakah sistem hebat yang Dr. Mahathir ada untuk menggantikan GST tanpa memperjudikan peruntukan subsidi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar? Mustahil beliau begitu hebat sehingga ahli ekonomi dunia dan Bank Dunia tidak mampu memikirkannya.

Apabila kita keluar mengundi nanti, mari kita bertanya kepada hati nurani dan akal waras kita. Benarkah sebuah negara yang menyediakan terlalu banyak peruntukan untuk kesihatan, pendidikan, dana perniagaan usahawan kecil, perkhidmatan pengangkutan bertaraf dunia, kebajikan anggota keselamatan dan perubatan yang jauh lebih baik dari dulu sedang menuju kehancuran?

Penunjuk yang ada, sama ada data ekonomi negara mahu pun Bank Dunia menunjukkan kita berada di landasan betul. Bank Dunia menganggarkan Malaysia akan mengalami pertumbuhan 5.7 peratus pada tahun ini. Jauh melebihi negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita pada 2017 adalah RM1.3 trilion iaitu pencapaian tertinggi negara.

Apa yang berlaku hari ini adalah pihak pembangkang cuba membentuk persepsi untuk menyesatkan kita. Dr. Mahathir sering menyatakan bahawa pada usia 93 tahun beliau perlu kembali untuk menyelamatkan negara.

Soalan saya, menyelamatkan negara daripada apa jika kehidupan kita semua hari ini jauh lebih baik dari zaman beliau? Saya boleh dan layak bertanya soalan ini kerana lebih 20 tahun kehidupan saya adalah pada zaman beliau memerintah.

Menyelamatkan negara dari apa jika beliau bersekongkol dengan DAP yang dikuasai oleh peniaga tamak? Kita semua perlu membuat pilihan berasaskan fakta, bukan persepsi, emosi dan simpati. Ingat, tempoh lima tahun boleh membawa negara ke belakang jika tidak berhati-hati.

Justeru, jika ada sedikit kebaikan kerajaan BN dan Najib kepada anda, undilah parti itu untuk meneruskan kemajuan dan kemakmuran negara. Mengapa harus dibunuh angsa bertelur emas hanya kerana dijanjikan ‘angsa emas’?

Undi saya untuk BN!

 

AB. JALIL BACKER

Kuala Lumpur