Terlebih dahulu ingin saya ucapkan terima kasih terhadap pembelaan bekas Naib Presidennya, John Ot Ghani yang menegur perbuatan itu dan mengingatkan ahli supaya jangan sekali-kali mendabik dada serta merendahkan-rendahkan parti lain.

Saya tertarik dengan ingatan ikhlas John yang mengatakan ahli PKR sekarang kebanyakannya berasal dari UMNO. Saya teringat bahawa penubuhan PKR yang diasaskan pada 4 April 1999 dengan nama Parti Keadilan Nasional adalah bertujuan menentang UMNO yang ketika itu dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Cetusan penubuhan tersebut adalah daripada rentetan tindakan Dr. Mahathir terhadap timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam erti kata lain, penubuhan PKR adalah satu penentangan terbuka terhadap Dr. Mahathir.

UMNO tidak bersalah. PKR yang dianggotai oleh penyokong tegar Anwar tidak pernah menyalahkan UMNO ketika itu tetapi semata-mata mahu menjatuhkan Dr. Mahathir.

Kesnya sama apabila Dr. Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bergabung dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Jadi, adalah tidak adil untuk menghina dan menyalahkan UMNO sebegitu rupa, seolah-olah keseluruhan pemimpin dan ahlinya adalah korup serta keji. UMNO tidak pernah bersalah. Yang bersalah ialah cara parti ini dipimpin dan dipergunakan oleh segelintir pemimpinnya. Ini termasuklah mereka yang pernah menghuninya sekian lama dan meludahnya apabila tidak lagi berkuasa.

Tidak keterlaluan jika saya berkata bekas orang kanan dan menteri UMNO dalam kerajaan sekarang adalah sebahagian daripada mereka yang pernah menunggang serta mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri ketika berada bersama parti tersebut.

Malangnya, mereka ibarat kacang lupakan kulit apabila tidak lagi menjadi menteri dan wakil rakyat dalam kerajaan BN sebelum ini. Mereka enggan menerima hakikat bahawa jika pemimpin UMNO sekarang disiasat, maka mereka juga wajar disiasat.

Tidak perlulah saya huraikan salah laku yang pernah mereka lakukan dahulu tetapi mereka harus ingat bahawa mereka selama ini hidup dengan mempergunakan UMNO. Sanggupkah mereka menidakkan perkara ini?

Kepada ahli-ahli PKR, ingatlah kembali sejarah penubuhan. Hanya kerana kuasa dalam kerajaan sekarang, usahlah sanggup menghina bekas parti. Saya ingin bertanya, siapa yang mereka marahkan ketika PKR dibentuk?

Jawablah dengan ikhlas dan demi Tuhan!

ALANG KECEWA

Kuala Lumpur