Kenapa ia mahu ditutup, dan siapa yang ingin mengambil alih? Setelah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN), jualan surat khabar termasuk Utusan sangat laris.

Utusan adalah nyawa UMNO. Andai kata Utusan ditutup atau berpindah ke pihak lain, bererti UMNO sudah tidak bernyawa lagi.

Walaupun Utusan dianggap ‘lidah’ UMNO, tidak bererti Utusan antikerajaan. Utusan tetap dengan falsafah asal kelahirannya kira-kira 80 tahun lalu, membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

Kerajaan dan Utusan tidak dapat dipisahkan tetapi Utusan perlu kekal kritis dalam usaha menegak keadilan dan mencari kebenaran.

Janji Dr. Mahathir sebaik saja mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh menjamin kebebasan akhbar walaupun tidak sedap didengar oleh kerajaan. Ini tentu memberikan kegembiraan kepada semua pengamal media. Diharapkan beliau tidak mungkiri janji itu.

Pihak media berhak menegur kerajaan demi kebaikan bersama. Sesebuah kerajaan dan seseorang pemimpin akan rosak sekiranya terlalu bergantung kepada media mengampu dan memuji.

PEMBACA SETIA

Pahang