DALAM beberapa minggu selepas pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14), gelagat pihak yang menang dan pihak yang kalah diperhatikan oleh rakyat.

Bagi yang menang, cara digunakan ialah dengan melaungkan hala tuju baharu dengan tema merungkai semula apa yang telah dilakukan oleh pihak yang kalah sebelum ini.

Di sebelah yang kalah masing-masing cuba menganalisis dan meletakkan kekalahan atas kekurangan diri sendiri. Apa pun rakyat sedang menilai.

Memerhatikan keadaan orang UMNO, terlalu banyak yang menyalah dan meletakkan apa yang terjadi atas sikap sombong, berpuak dan mementingkan diri sendiri. Maka benarlah apa yang dibuat oleh pihak lawan, persepsi menjadi kenyataan dek pengakuan oleh orang UMNO sendiri.

Persepsi pertama dibuka melalui percanggahan pendapat yang tercetus atas sokongan atau bangkangan mengenai perlunya dikekalkan pemimpin sedia ada tanpa pertandingan.

Sepatutnya isu seperti ini tidak perlu ditonjolkan begitu rupa hingga timbul persepsi bahawa UMNO ini masih mengamalkan sistem warlord yang tidak memungkinkan generasi muda diserap ke dalam parti.

Persepsi kedua berhubung apa yang sedang berlaku di Perlis yang membawa gambaran bahawa sesuatu yang tidak kena dengan sistem kepemimpinan dan hubungannya dengan pihak istana.

Perkara begitu sensitif tidak diberi pertimbangan sewajarnya sebelum ini telah menukar persepsi buruk menjadi realiti ngeri.

Persepsi ketiga yang terserlah sekarang pada mata rakyat ialah masih wujud bahan kempen, bendera, banting, gambar calon dan beraneka bahan Barisan Nasional (BN) yang berselerakan di jalan dan lorong walaupun PRU-14 sudah selesai dan parti lain sudah hampir membersihkannya termasuk Pas yang juga kalah di banyak kawasan.

Di Kelana Jaya, Kota Damansara dan di kawasan sekeliling misalnya, bahan kempen sudah dibersihkan oleh Pakatan Harapan dan Pas sedangkan bahan-bahan BN masih tersadai di pinggir jalan dan di tepi longkang, di tiang eletrik dan di atas pokok.

Sungguh menyayat hati, simbol yang gah telah terhina dan terpijak kerana tidak ada orang BN sendiri atau orang upahan yang membersihkannya. Mengharapkan pihak berkuasa tempatan membersihkan melalui deposit yang telah disandarkan adalah satu tindakan tidak beretika dan tidak bertanggungjawab. Tidakkah gambar calon yang kalah tetapi masih terpapar di pinggir jalan memalukan diri sendiri?

Adalah disyorkan agar BN dan UMNO di semua negeri mengambil tindakan segera untuk membersihkan sisa sisa simbol kekalahan ini dan meminimumkan kesan negatif yang timbul akibat ketidakpekaan terhadap situasi ini sebelum pembinaan semula parti yang hampir kecundang akibat kesalahan sendiri.

PEJUANG PEMBEBASAN