Dalam tempoh itu, banyak krisis kepemimpinan terjadi bermula dengan Dato’ Onn Jaafar meninggalkan UMNO dan digantikan dengan Tunku Abdul Rahman sehinggalah beberapa perkara yang terjadi kepada UMNO terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun ini.

Apa yang menarik, pemimpin datang dan pergi serta hampir kesemua pemimpinnya telah berusaha keras dan memartabatkan maruah orang Melayu.

Sekalung tahniah dan penghargaan buat kesemua pemimpin UMNO yang telah memajukan orang Melayu.

Kini UMNO sedang menyusun gerak kebangkitan bagi memperkuatkan partinya dengan hala tuju yang jelas iaitu memenangi PRU Ke-15, lima tahun lagi.

Menurut Datuk Seri Mohamad Hassan yang menjalankan tugas-tugas presiden, beliau akan ‘memberhentikan pendarahan’ dalam UMNO yang membawa maksud memulihkan dan memperkasa keadaan parti yang tersentak akibat kehilangan kuasa baik di peringkat pusat mahupun negeri.

Hala tuju ini amat jelas supaya seluruh jentera dan ahli UMNO digerakkan dengan bermatlamat memenangi semula PRU-15 pada 2023.

UMNO perlu melakukan tindakan drastik dengan mengenal pasti kekuatan ahlinya supaya mereka yang benar-benar berjuang dan masih sanggup berkhidmat untuk UMNO wajar diketengahkan bagi mengelapai perjuangan baharu parti siasah orang Melayu sesuai dengan situasi semasa politik terkini.

Program pemutihan UMNO perlu diperkasakan lagi dan seharusnya kita mengalu-alukan penghijrahan ahli yang tidak lagi setia ke parti kerajaan kerana kita tahu niat sebenar mereka bukanlah kerana perjuangan tetapi atas kepentingan diri semata-mata.

Kuatkan semangat, rapatkan saf serta terus Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat bagi kita meneruskan agenda UMNO sebagai ‘juara rakyat’ khususnya orang Melayu.

PEDAMBA NASIONALIS,
Kalumpang, Selangor