Selepas ditinggalkan hampir semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), UMNO kelihatan masih ‘senyap’ dan tidak memulakan langkah persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Peralihan kuasa dalaman sudah selesai, di peringkat akar umbi juga sudah selesai walaupun rata-ratanya mengekalkan muka lama. Lebih penting lagi ramai jenis ‘perosak’ sudah tinggalkan parti keramat Melayu ini.

Inilah masanya untuk semua sayap UMNO keluar mendaftar sekitar 4 juta pengundi baharu khususnya dalam kalangan orang Melayu serta pribumi di Sabah dan Sarawak dan ‘pujuk’ sekitar 2 juta pengundi Melayu berdaftar untuk keluar mengundi pada PRU-15.

Angka undian pada PRU-14 membuktikan sokongan majoriti Melayu dan pribumi masih dipegang UMNO (lebih 50 peratus) diikuti Pas (lebih 20 peratus) sementara sekitar 20 peratus dipecahkan dalam parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Itu orang Melayu yang mengundi, belum mengambil kira yang tidak mengundi atau belum mendaftar sebagai pengundi.

Kelebihan angka ini akan membolehkan kerjasama UMNO dan Pas membentuk kerajaan dengan mudah sekiranya 80 hingga 90 peratus daripada keseluruhan orang Melayu mengundi.

Berbeza pula dengan pengundi Cina yang sudah hampir semuanya berdaftar dan mengundi dalam PRU-14 sehingga terdapat rancangan menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun demi menaikkan undi bukan Melayu yang menjadi tulang belakang PH.

Jika UMNO gagal mengambil kesempatan kira-kira mudah ini dari sekarang, pengundi Melayu akan terus ‘merajuk’ dan tidak mendaftar mahu pun mengundi menyebabkan keputusan pilihan raya tidak menggambarkan pilihan kumpulan majoriti.

Melihatkan pengundi Melayu yang memangkah PH dalam PRU-14 juga sudah mula beralih arah, UMNO perlu bijak mengatur strategi dari sekarang dan bukannya menunggu saat akhir seperti ketika masih dalam kerajaan dahulu.

Dekati orang Melayu, daftarkan mereka sebagai pengundi dan bantu selesaikan masalah dihadapi penduduk setempat tanpa mengira ideologi.

MIC dan MCA juga perlu main peranan masing-masing bagi memastikan siapa pun yang menang dalam PRU kelak, ada wakil setiap kaum dalam kerajaan.

Bangkitlah UMNO daripada tidur dan mimpi ngeri lalu, kembali kepada asas perjuangan Melayu dan jangan terus apologetik dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu di bumi sendiri.

 

ANAK WATAN

Kuantan, Pahang